mutakhir

30 minit tangkap sawa [METROTV]

Oleh Azahar Hashim

ULAR sawa batik sepanjang enam meter dan seberat 30 kilogram ditangkap angggota Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) Daerah Kulim di kuarters Pasukan Gerakan Am (PGA) Batalion 2 Kulim,malam tadi.

Pegawai Angkatan Pertahanan Awam (APM) Daerah Kulim, Leftenan (PA) Mohd Fadhil Fahmi Zaini berkata, pihaknya menerima panggilan pada 8.53 malam memaklumkan penemuan ular di atas jalan berhampiran kuarters.

Katanya, selepas menerima panggilan itu lima anggotanya diketuai oleh Leftenan Muda (PA) Moktarudin Ahmad, bergegas ke tempat kejadian bagi memberi bantuan.

"Sebaik tiba di tempat kejadian, pengadu memaklumkan kepada anggota APM kedudukan ular terbabit yang masih ada di atas jalan.

"Lelaki itu ternampak ular terbabit menyusur jalan untuk ke kawasan semak berhampiran dan tidak tahu bagaimana reptelia itu boleh berada di kawasan itu.

"Walaupun ular sawa batik tidak berbisa namun di sebabkan ukuran saiznya yang agak besar serta liar maka usaha untuk menangkap agak sukar.

"Walaupun pihak anggota (APM) berpengalaman mereka perlu berhati-hati untuk menangkap ular," katanya ketika dihubungi.

Menurut Mohd Fadhil Fahmi, hampir 30 minit berusaha akhirnya anggotanya berjaya menangkap ular sawa terbabit.

"Ular sawa itu kemudian dilepaskan ke habitat asalnya serta jauh daripada kawasan yang ramai penduduk.

"Pihak kami ingin menasihati orang ramai sekiranya rumah atau kawasan kediaman mereka dimasuki binatang liar atau berbisa sebaiknya terus menghububugi anggota penyelamat seperti Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia atau APM yang lebih berpengalaman dalam menangani situasi terbabit," katanya.

Disiarkan pada: December 29, 2017 @ 11:19am
d