mutakhir

Lebih 400kg nak diseludup! [METROTV]

Oleh Muhammad Yusri Muzamir

TIGA individu, termasuk dua beranak dihadapkan ke Mahkamah Majistret Balik Pulau, hari ini, atas pertuduhan cuba mengedar 419.15 kilogram (kg) dadah jenis Eramin 5, tiga minggu lalu.

Bagaimanapun, tiada pengakuan direkodkan selepas pertuduhan dibacakan ke atas Razis Md Yusoff, 34, Muhammad Wafiy Ikhwan Rushdi, 18, dan Rushdi Ismail, 47, di hadapan Majistret Nur Fadrina Zulkhairi.

Mengikut pertuduhan, ketiga-tiga tertuduh didakwa cuba menyeludup Eramin 5 seberat 419.15 kg di B-01 Blok B, Kompleks Kargo MAS di Lapangan Terbang Antarabangsa Pulau Pinang (LTAPP), pada 17 Disember lalu.

Mereka didakwa mengikut Seksyen 39 B (1) (a) Akta Dadah Berbahaya 1952 yang memperuntukkan hukuman gantung sampai mati mandatori, jika sabit kesalahan.

Terdahulu, Pegawai Pendakwa Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) Abdul Malik Awang Kechik @ Ramli memohon mahkamah tidak membenarkan ikat jamin ke atas semua tertuduh selepas mengambil kira pertuduhan kes terbabit.

Nur Fadrina kemudian membenarkan semua tertuduh tidak diikat jamin, selain menetapkan 26 Februari hadapan sebagai tarikh sebutan semula kes.

Razis yang bekerja sebagai ejen penghantaran tidak diwakili peguam, manakala dua beranak Muhammad Wafiy Ikhwan yang juga rakan sekerja Razis dan bapanya, Rushdi diwakili peguam S N Rajan.

Disiarkan pada: December 29, 2017 @ 11:37am
d