mutakhir

Tak mengaku jual `ayam muda' Filipina [METROTV]

Oleh Junaidi Ladjana

DUA suspek sindiket pelacuran yang ditahan Jabatan Imigresen selain menyaksikan rampasan wang tunai RM14.5 juta, bulan lalu, tidak mengaku bersalah atas pertuduhan mengurus rumah persundalan di Mahkamah Sesyen, Kota Kinabalu, hari ini.

Tertuduh, Tay Thian Chuan, 45 dan Tay Leong Hee, 52, mengaku tidak bersalah di hadapan Hakim Mahkamah Sesyen Noor Hafizah Mohd Salim.

Mahkamah memerintahkan kedua-dua tertuduh membayar wang jaminan RM20,000 dengan seorang penjamin tempatan, manakala pasport mereka diserahkan kepada mahkamah selain perlu melapor diri sebulan sekali di pejabat Jabatan Imigresen.

Kedua-dua mereka didakwa mengikut Seksyen 373 (1) (a) Kanun Keseksaan yang dibaca bersama Seksyen 34 kanun yang sama.

Hakim menetapkan 10 Januari depan untuk pengurusan kes.

Berdasarkan fakta kes, kedua-dua tertuduh ditahan jam 8.44 malam di sebuah bilik hotel pada 23 November lalu.

Pendakwaan dilakukan Timbalan Pendakwa Raya Fazril Sani Mohamed Faszil, manakala tertuduh masing-masing diwakili peguam Datuk Chau Chin Tang dan Adrian Cham.

Pada 24 November lalu, Jabatan Imigresen Sabah menerusi Ops Gegar menemui wang tunai berjumlah RM11.88 juta di sebuah bilik hotel sebelum pemeriksaan susulan di sebuah apartmen berhampiran menemui lebih RM1.17 juta lagi.

Seramai 17 gadis dan wanita warga Filipina berumur belasan tahun hingga 40-an yang ditempatkan dalam enam bilik hotel berkenaan dipercayai dieksploitasi sebagai pelacur turut diselamatkan dalam operasi berkenaan.

Pada 28 November lalu juga, Jabatan Imigresen Sabah menemui RM1.45 juta lagi wang tunai di hotel yang sama.

Hasil penemuan wang berkenaan, tiga lelaki termasuk seorang warga Filipina dan seorang wanita ditahan menjadikan 22 orang ditahan setakat ini.

Disiarkan pada: December 29, 2017 @ 11:43am
d