mutakhir

[UPDATE] Tumpang di dewan dulu

Oleh Nabihah Kamal

“HARI ini mangsa akan tinggal buat sementara waktu di dewan berhampiran sebelum Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) menyediakan rumah sementara bagi semua mangsa kebakaran ini,” kata Menteri Kewangan Kedua, Datuk Seri Johari Abdul Ghani yang juga Ahli Parlimen Titiwangsa ketika melawat lokasi kejadian kebakaran di Lorong Raja Muda Musa Enam, Kampung Baru, hari ini.

Menurut beliau, pihaknya memohon kepada DBKL untuk memberikan rumah sementara sehingga rumah yang terbabit dengan kebakaran itu pulih sepenuhnya.

“Rumah di sini rapat-rapat menyebabkan api cepat merebak.

“Saya memuji kepantasan Bomba yang cepat memadamkan kebakaran kerana jika tidak pasti akan membabitkan lebih banyak rumah yang terbakar,” katanya.

Dalam pada itu, beliau menasihati orang ramai supaya tidak membuat penyambungan elektrik sendiri tanpa tauliah kerana boleh mengakibatkan litar pintas.

“Maklumat awal yang didapati kebakaran akibat litar pintas namun bomba masih menyiasat punca kebakaran.

“Orang ramai perlu mengelakkan membuat penyambungan elektrik sendiri kerana boleh litar pintas dan punca kepada kebakaran,” katanya.

Pagi tadi, 15 rumah terbakar namun tiada membabitkan kemalangan jiwa.

Berita berkaitan:

'Tolong! Tolong' [METROTV]

Panik Kampung Baru terbakar

Disiarkan pada: December 29, 2017 @ 12:39pm
d