mutakhir

Jangan menangis..abah pulang sayang

Oleh Mohd Sabran Md Sani

EMPAT nelayan tempatan termasuk seorang tekong dan tiga awak-awak yang ditahan pihak berkuasa Indonesia selama 12 hari selamat tiba di Jeti Nelayan Perdagangan Pontian pagi ini.

Pengarah Maritim Daerah Johor bahru, Kapten Maritim Syed Nor Adli Syed Ab Rahman berkata, semua mangsa ditahan di sempadan perairan Malaysia-Indonesia pada jam 1 petang 17 Disember lalu dibebaskan dari Pusat Tahanan Vesel Tanjung Balai, Indonesia malam tadi.

Katanya, usaha membebaskan empat nelayan terbabit hasil perbincangan antara Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia

(APMM) dengan Tentera Nasional Indonesia (TNI).

Katanya, kejadian berlaku ketika semua nelayan terbabit Koh Tuan Guan, 53,Teo Chin Heng, 49, Abdul Rahman Chia Abdullah, 53, dan Mohd Sani Mohd Sood, 38, ditahan pihak berkuasa Indonesia kerana melakukan aktiviti menangkap ikan di 10.7 batu nautika dari Barat Daya Pulau Pisang, 1 petang.

"Menyedari kejadian itu, anak salah seorang nelayan terbabit membuat laporan polis sebelum maklumat berkenaan disalurkan kembali kepada Maritim Malaysia untuk tindakan susulan.

"Berikutan itu, pihak tertinggi Maritim Malaysia menghubungi pihak tertinggi TNI bagi menyelesaikan isu ini," katanya pada sidang media di Jeti Nelayan Pusat Perdagangan Pontian di sini, hari ini.

Katanya, bagi tujuan itu Maritim Malaysia menyampaikan saranan kerajaan Malaysia yang mahu mewujudkan kerjasama erat.

"Rundingan berterusan dengan negara jiran bagi pembebasan bot-bot nelayan kita yang ditahan di sana," katanya.

Katanya, usaha berkenaan membuahkan hasil apabila semua nelayan terbabit dibebaskan TNI.

"Bot berkenaan bertolak pada jam 10.30 malam tadi di Pusat Tahanan Vesel di Tanjung Balai Indonesia dan selamat pulang ke jeti pada 5 pagi tadi," katanya.

Katanya, APMM sentiasa komited dalam membantu komuniti maritim demi memastikan aktiviti mereka selamat ketika di laut.

"Malah ia kejayaan pertama hasil kerjasama TNI dapat membebaskan nelayan tempatan dalam tempoh singkat," katanya.

Disiarkan pada: December 29, 2017 @ 1:02pm
d