mutakhir

Botol arak `tutup' lebuh raya

Oleh Mohd Hilmie Hussin

DUA pemandu dan seorang kelindan treler cedera serta melecur badan susulan kemalangan dan kebakaran di Kilometer 216.3, Lebuhraya Utara Selatan Plus arah utara berhampiran susur Air Keroh, Melaka, kira-kira 6.30 pagi hari ini.

Dalam kejadian itu, treler membawa muatan botol arak kosong mengalami kerosakan dan diletakkan di lorong kecemasan.

Bagaimanapun treler rosak itu dirempuh sebuah lagi treler membawa muatan minyak masak menyebabkan kebakaran berlaku.

Ketua Jabatan Siasatan Penguatkuasaan Trafik negeri, Superintendan Mohd Sham Abdullah, pemandu lori membawa botol arak kosong milik sebuah syarikat dari Port Dickson, Negeri Sembilan, berusia 38 tahun mengalami luka ringan.

Sementara itu, polis belum mengenal pasti identiti pemandu treler membawa minyak masak dari Perak yang melecur pada belakang badan, manakala kelindannya patah kaki kiri dan tangan kanan.

Beliau berkata, akibat kebakaran itu, kedua-dua kenderaan hangus dan musnah sepenuhnya.

Mohd Sham berkata, kes disiasat mengikut Seksyen 43(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Disiarkan pada: December 29, 2017 @ 3:02pm
d