mutakhir

Perolehan sepenuhnya dalam talian

Oleh Mohd Husni Mohd Noor

SEMUA perolehan kerajaan bagi bekalan dan perkhidmatan bukan perunding akan dilaksanakan sepenuhnya secara dalam talian menerusi sistem ePerolehan yang baharu mulai 1 Januari ini.

Menteri Kewangan II Datuk Seri Johari Abdul Ghani berkata, melalui sistem baru ePerolehan itu, kerajaan mewajibkan semua perolehan bekalan dan perkhidmatan kerajaan dibuat sepenuhnya secara dalam talian.

Beliau berkata, pihaknya juga akan menggunakan sistem sama bagi mengendalikan perolehan pembangunan dan perbelanjaan bajet yang kini diuruskan oleh Kementerian Kerja Raya.

"ePerolehan itu penting bagi mengawal dan memantau terhadap segala aspek pembelian yang dilakukan kerajaan di Kementerian Kewangan.

"Dengan adanya ePerolehan ini, kita boleh kumpul ‘big data’ dari pembekal dan maklumat itu akan digunakan bagi membentuk polisi atau dasar pada masa depan sekali gus memastikan kecekapan dalam mengendalikan ePerolehan," katanya pada sidang media selepas menyempurnakan majlis pelancaran ePerolehan baharu di Putrajaya, hari ini.

Katanya, ciri penambahbaikan yang terdapat pada sistem baru itu dapat membantu usaha pelaksanaan Bajet 2018 dengan lebih baik dan menyeluruh sejajar dengan prinsip-prinsip pengurusan perolehan kerajaan seperti pengurusan kewangan yang telus, pulangan nilai faedah terbaik dan amalan saingan terbuka serta adil dan saksama.

Johari berkata, sistem ini juga secara tidak langsung menjimatkan masa dan budi bicara mana-mana pegawai dalam mengendalikan perolehan.

"Menerusi sistem ini, agensi kerajaan dan pembekal dapat berinteraksi dengan lebih telus, kompetitif dan efektif untuk memperoleh nilai faedah terbaik bagi bekalan dan perkhidmatan yang diperlukan.

"Di samping itu, ia juga dapat meningkatkan tahap ketelusan, integriti dan tadbir urus yang menjadi tiga perkara utama dalam proses pembinaan negara sekali gus dapat membina keyakinan rakyat dan pelabur terhadap perkhidmatan awam," katanya.

Katanya, sistem ePerolehan baru ini juga akan berintegrasi dengan Sistem Perakuan Akruan yang dibangunkan di bawah Jabatan Akauntan Negara iaitu 1Government Financial Management Accounting System (1GFMAS).

Sementara itu, Timbalan Setiausaha Perbendaharaan (Dasar) Kementerian Kewangan Datuk Siti Zauyah Md Desa berkata, sistem ePerolehan mula dilancarkan kerajaan pada September 1999 sebagai satu Aplikasi Perdana Kerajaan Elektronik di bawah inisiatif Malaysia Super Koridor selaras keperluan mewujudkan sistem perolehan kerajaan yanglebihtelus, saksama dan berintegriti.

"Sistem ini sudah beroperasi lebih 17 tahun dan berjaya mentransformasikan perolehan kerajaan daripada proses secara manual kepada sistem lebih mesra pengguna selain menjimatkan masa dan kos," katanya.

Dalam perkembangan lain, Johari berkata, Malaysia tidak terhutang budi dengan mana-mana pihak dalam penyelesaian semua hutang 1Malaysia Development Bhd (1MDB) bagi tahun ini kepada syarikat milik Abu Dhabi, International Petroleum Investment Company (IPIC).

Menurutnya, beliau tidak mempunyai maklumat lanjut berhubung penjelasan hutang berjumlah AS$1.2 bilion (RM4.9 bilion) itu namun, ia boleh dirujuk kepada Ketua Setiausaha Perbendaharaan yang juga Pengerusi 1MDB Tan Sri Dr Mohd Irwan Serigar Abdullah.

"Kita tidak terhutang budi dengan sesiapa pun," katanya.

Laporan media asing menyebut, penyelesaian hutang sebanyak AS$602.7 juta (RM2.4 bilion) daripada jumlah keseluruhan AS$1.2 bilion (RM4.9 bilion) dibuat 1MDB dengan melupuskan saham kepada dua syarikat yang mempunyai kaitan dengan syarikat milik China.

Disiarkan pada: December 29, 2017 @ 3:13pm
d