mutakhir

'Janganlah cepat percaya'

Oleh Rosliza Mohamed

Dalam tempoh dua hari, tujuh kes penipuan Macau Scam dilaporkan di Kelantan dengan jumlah kerugian hampir setengah juta ringgit.

Keadaan itu membimbangkan, malah Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Komersial Kelantan Superintendan Mohamed Zulmazi Che Daud mendesak masyarakat supaya tidak mudah terpedaya.

"Kita bimbang kerana ia semakin menjadi-jadi akhir-akhir ini. Saya rayu penduduk negeri ini supaya janganlah mudah sangat percaya dengan panggilan diterima daripada individu tak dikenali.

"Jangan disebabkan itu anda menurut semua arahan hingga terjebak jadi mangsa sindiket Macau Scam dan melakukan transaksi wang," katanya ditemui di pejabatnya di Kota Bharu.

Beliau berkata, tujuh kes itu dilaporkan pada Isnin dan Selasa lalu dengan lima daripadanya adalah mangsa wanita, manakala dua lagi lelaki, semuanya berusia 28 hingga 64 tahun.

Katanya, mangsa hilang wang simpanan disebabkan terpengaruh, malah ada antaranya kehabisan wang pencen dalam sekelip mata.

"Taktik Macau Scam ini sama saja, buat panggilan ke atas mangsa secara rawak dan cuba menakut-nakutkan dengan mendakwa mangsa berhutang bank mencecah RM2 juta, terbabit dadah dan pengubahan wang haram.

"Panggilan kononnya disambung kepada pegawai polis untuk penyelesaian, sedangkan 'polis' itu hanya kambing hitam sahaja untuk sindiket kuatkan cerita dan takutkan mangsa.

"Sepatutnya apabila menerima panggilan begini, fikirlah secara logik dan jangan cepat panik. Polis takkan bertindak sewenang-wenangnya ke atas mana-mana pihak, apatah lagi menerusi panggilan telefon begitu," katanya.

Mohamed Zulmazi berkata disebabkan bimbang, mangsa mendakwa melakukan transaksi mengikut arahan diberi sehingga kerugian antara RM4,360 ke RM167,000 seorang.

Susulan itu, beliau berharap tiada lagi penduduk yang mudah terpengaruh dengan panggilan meragukan dan digalakkan merujuk kepada pihaknya untuk sebarang keraguan.

Disiarkan pada: December 29, 2017 @ 5:59pm
d