mutakhir

Sejam tahan sakit

Oleh Mohamad Fahd Rahmat

KANAK-kanak lelaki berusia tujuh tahun menanggung kesakitan hampir sejam apabila kaki kirinya tersepit pada rantai motosikal ditunggang bapanya di Jalan Kelapa Bali Taman Soga Batu Pahat, Johor, 5.50 petang semalam.

Difahamkan kejadian berlaku ketika kanak-kanak dikenali sebagai Ahmad Khalifi Mohd Khairy itu membonceng motosikal bapanya ketika bersiar-siar.

Bagaimanapun, kanak-kanak itu dikatakan secara tidak sengaja menjulurkan kaki menyebabkan terkena rantai motosikal sebelum tersepit.

Jurucakap Jabatan Bomba dan Penyelamat Johor berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan daripada orang awam berhubung kejadian itu pada 5.53 petang.

Katanya, seramai lima anggota diketuai seorang pegawai dari Balai Bomba dan Penyelamat Batu Pahat bergegas ke lokasi untuk membantu mengeluarkan kaki mangsa.

"Ketika tiba di lokasi beberapa minit kemudian, anggota mendapati kanak-kanak berkenaan sedang ditenangkan oleh bapanya dengan bantuan orang ramai supaya tidak menangis serta panik.

"Dengan menggunakan alat pemotong khas, kami berjaya mengeluarkan kaki mangsa yang tersepit pada 6.40 petang dan mangsa dihantar oleh bapanya Hospital Sultanah Nora Ismail (HSNI) untuk rawatan lanjut," katanya.

Dalam pada itu, bapa mangsa enggan mengulas berhubung insiden berkenaan sambil menyatakan anaknya baru saja dimasukkan ke bilik pembedahan HSNI kira-kira 3 petang tadi.

Disiarkan pada: December 29, 2017 @ 7:05pm
d