mutakhir

Jumpa kubu bawah tanah

Oleh Razif Rosli

KUBU perlindungan bawah tanah dipercayai peninggalan Perang Dunia Kedua ditemui di kawasan penyelenggaraan milik Malaysia Airports Holdings Berhad (MAHB) berhampiran Lapangan Terbang Sultan Azlan Shah (LTSAS) di Ipoh, hari ini.

Kubu berukuran luas 9x9 meter persegi dengan ketinggian 2.5 meter dan terletak di bawah tanah.

Ketua Penyelidik Malaya Historical Group (MHG) Shaharom Ahmad berkata, bahagian dalam kubu itu masih utuh dan terdapat dua tiang di dalamnya dengan binaan konkrit dipercayai dari peninggalan tentera British.

Menurutnya, berdasarkan struktur kubu bawah tanah itu, pihaknya percaya ia digunakan oleh ahli keluarga dan tentera British untuk berlindung semasa Perang Dunia Kedua pada 1941.

"Kubu perlindungan ini mampu memuatkan sehingga 30 ke 40 orang dalam satu-satu masa dan hasil kajian awal mendapati ia digunakan untuk perlindungan ketika berlakunya serangan udara dan bom mortar.

"Penemuan ini adalah pertama dalam negara kerana sebelum ini kita hanya menemui kubu pertahanan British yang berada di atas tanah, bawah tanah kita tak pernah jumpa lagi," katanya ketika ditemui pemberita hari ini.

Shaharom berkata, penemuan itu juga signifikan dengan struktur binaan tentera British lakukan di Singapura dan negara Eropah lain.

"Walaupun binaannya sudah mencecah 75 tahun, ia masih utuh dan ia dibina bagi menerima serangan bom secara terus, kesan bom berkenaan berkemungkinan tidak berkesan dan mampu menyelamatkan mereka yang berlindung.

"Ketika itu mereka yang berlindung adalah ahli keluarga dan tentera British daripada serangan udara tentera Jepun," katanya.

Beliau berkata, hasil pemerhatian juga menemui tulisan berbahasa Mandarin yang tertulis 'makanan cukup untuk 2,100 orang makan' yang dipercayai ditulis oleh kontraktor dari China yang diupah tentera British membina kubu berkenaan.

"Memang ada sejarah British bawa masuk kontraktor dari China untuk buat bangunan termasuk kubu pertahanan, jadi kemungkinan ia ditulis semasa digunakan ketika perang.

"Penemuan ini juga turut menjadi batu asas kepada kemungkinannya ada lagi kubu perlindungan bawah tanah lain di kawasan ini kerana kebiasaannya mereka akan bina banyak," katanya.

Sementara itu, Pengurus LTSAS, Mohd Ali Osman berkata, perbincangan lanjut akan diadakan bersama beberapa agensi berkaitan untuk kajian lebih lanjut dijalankan.

Menurutnya, kubu berkenaan terletak di kawasan milik MAHB yang tidak aktif dan pihaknya memberi kebenaran kepada MHG untuk melakukan kajian.

"Kita memberi sokongan penuh sekiranya kawasan itu dijadikan tapak warisan sejarah ketenteraan dalam usaha memajukan sektor pelancongan negeri.

"Sebelum ini pun kita pernah menemui tiga kubu pertahanan tentera (pillbox) dalam kawasan LTSAS dan ini adalah penemuan baru," katanya.

Disiarkan pada: December 29, 2017 @ 7:21pm
d