mutakhir

Menanti 1 Januari 2018...

Oleh Faliq Lajim

1 Januari 2018 sangat dinantikan rakyat Selangor apabila pada tarikh itu, kutipan tol di dua plaza tol Lebuhraya Persekutuan iaitu Batu Tiga dan Sungai Rasau dimansuhkan seperti diumumkan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak dalam Bajet 2018 pada 27 Oktober lalu.

Bayaran untuk kereta adalah RM1.10 di Plaza Tol Batu Tiga manakala RM1 di Plaza Tol Sungai Rasau, Klang.

Peniaga steamboat, Norly Rahamat, 37, berkata, dia yang tinggal di Meru kerap menggunakan dua tol berkenaan untuk ke tapak atau lokasi perniagaan seperti di Shah Alam, Klang dan Petaling Jaya.

Menurutnya, dia yang menggunakan lori untuk berniaga, perlu membayar tol lebih RM4 di kedua-dua plaza tol berkenaan.

"Saya berniaga di merata tempat dengan menggunakan lori dan sudah tentu melalui kedua-dua plaza tol ini.

"Jika kerap menggunakan Lebuhraya Persekutuan, kos untuk tol juga meningkat dan saya bersyukur dengan pemansuhan ini malah ia meringankan beban peniaga kecil seperti saya yang tiada pendapatan tetap," katanya.

Kakitangan kerajaan negeri, Saiful Nazri Samdin, 27, berkata, pemansuhan tol itu memberi penjimatan hampir RM150 sebulan kepadanya dan isteri.

"Saya dan isteri perlu melalui Plaza Tol Sungai Rasau dengan kereta berasingan kerana tempat kerja kami berbeza.

"Setiap hari kos pergi dan balik untuk dua kereta melebihi RM4, itu belum masuk kos tol yang kami lalui pada hujung minggu," katanya yang tinggal di Kampung Jawa, Klang.

Pekerja sambilan yang juga penuntut Universiti Teknologi MARA (UiTM), Muhammad Amir Syafiq Asri, 25, berkata, dia antara orang yang paling gembira dengan pemansuhan tol berkenaan.

"Hampir setiap hari saya melalui Lebuhraya Persekutuan sama ada ke kelas atau bekerja sambilan dengan rakan.

"Pemansuhan ini memberi penjimatan kira-kira RM50 sebulan kepada saya dan sebagai pelajar, jumlah ini sudah tentu dapat membantu saya," katanya.

Selain dua plaza tol berkenaan, kerajaan turut memansuhkan kutipan tol di Plaza Tol Bukit Kayu Hitam, Kedah dan Eastern Dispersal Link (EDL) di Johor.

Keputusan kerajaan memansuhkan kutipan tol di Batu Tiga, Sungai Rasau dan Bukit Kayu Hitam menelan belanja RM110 juta setahun untuk 20 tahun sebagai pampasan kepada pengendali.

Pampasan berjumlah RM102 juta diperuntukkan bagi pengendali lebuh raya di dua plaza tol di Selangor manakala RM8 juta di Kedah.

Untuk EDL, kerajaan dilaporkan memperuntukkan RM70 juta sebagai pampasan kepada pengendalinya menjadikan jumlah keseluruhan bagi empat tol itu RM180 juta setahun.

Disiarkan pada: December 29, 2017 @ 8:29pm
d