mutakhir

Lompat gaung selamat diri

Oleh Mohd Hilmie Hussin

Alor Gajah: “Saya hairan mengapa lebuhraya sesak teruk hingga hampir tidak bergerak, sebelum saya melihat api marak terlalu tinggi dan meletus beberapa letupan,” demikian menurut saksi yang dikenali sebagai Zaidi, 42, yang melihat kejadian dua lori terbakar di Kilometer 216.3 Lebuhraya Utara Selatan Plus arah utara, semalam.

Zaidi berkata, dalam kejadian jam 6.30 pagi itu, dia turut menyaksikan dua lelaki melompat ke gaung dari lebuhraya terbabit bagi mengelakkan diri daripada terbakar.

Dalam kejadian itu, lori membawa muatan botol kosong itu dipercayai mengalami kerosakan dan berhenti di lorong kecemasan namun tiba-tiba dirempuh lori muatan minyak masak dari belakang.

Ketua Jabatan Siasatan Penguatkuasaan Trafik negeri, Superintendan Mohd Sham Abdullah berkata, akibat kejadian itu, pemandu lori botol arak kosong milik syarikat dari Port Dickson, Negeri Sembilan, Azmi Idris, 38, mengalami luka ringan.

“Bagaimanapun, kita belum mengenal pasti identiti pemandu treler membawa minyak masak dari Perak yang melecur pada belakang badan, manakala kelindannya N Pratap, 36, patah kaki kiri dan tangan kanan,” katanya ketika dihubungi, semalam.

Beliau berkata, akibat kebakaran itu, kedua-dua kenderaan hangus dan musnah sepenuhnya, namun tidak membabitkan sebarang kehilangan nyawa.

Mohd Sham berkata, kes disiasat mengikut Seksyen 43(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Dalam pada itu, sebuah lori tangki dan jentera dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Ayer Keroh, dibantu jentera dari BBP Alor Gajah dikejarkan ke lokasi kejadian.

Ketua Balai BBP, Ayer Keroh PKPB Hamdan Sudin berkata, seramai 20 anggota termasuk komander operasi bergegas ke lokasi kejadian selepas pihaknya menerima panggilan jam 6.35 pagi.

“Sebaik sampai di lokasi, kita dapati dua lori terbakar akibat kemalangan jalan raya dan terdapat dua mangsa di bawah gaung, dipercayai terjun dari lori terbabit,” katanya.

Menurutnya, seorang mangsa melecur 20 peratus di bahagian badan manakala dua lagi melompat ke dalam gaung dan operasi tamat jam 10.26 pagi.

Difahamkan, bomba berdepan masalah untuk sampai ke lokasi berikutan pengguna lebuhraya menggunakan laluan kecemasan ketika kemalangan itu berlaku hingga menyebabkan kesesakan hampir 10 kilometer.

Disiarkan pada: December 30, 2017 @ 8:19am
d