mutakhir

Perginya Ustaz Sempoi

Oleh HM Digital

Tasek Gelugor: Tiada lagi gurauan dan ilmu dari Abdul Razak Abdul Karim, 47, atau dikenali sebagai Ustaz Sempoi yang kembali ke rahmatullah, malam kelmarin, selepas menderita tumor sejak beberapa tahun lalu.

Abdul Razak disahkan meninggal dunia di Hospital Pulau Pinang jam 11.17 malam selepas empat hari menjalani pembedahan kerongkong 25 November lalu.

Kehilangan Abdul Razak sangat dirasai warga Madrasah Al-Khairiah Al-Islamiah, Pokok Sena, di sini, iaitu tempat mengajar dan beliau disenangi anak muda kerana sikapnya yang ramah serta boleh ‘bercampur’ dengan golongan muda sehingga digelar Ustaz Sempoi.

Beliau juga baru menggenggam Ijazah Sarjana Muda Pengajaran dari Universiti Terbuka Malaysia (OUM) dan sempat hadir pada majlis konvokesyen di SPICE, Bayan Baru, Pulau Pinang.

Abangnya, Saidon, 53, berkata arwah mahu menjadi pensyarah selepas tamat pengajian di OUM, namun tidak kesampaian.

“Arwah anak keempat daripada tujuh beradik belum berkahwin dan menderita tumor dalam kepala sudah lama tetapi serius sejak November lalu hingga terpaksa bergantung pada kerusi roda.

“Selain mengajar di Madrasah Al-Khairiah Al-Islamiah, arwah juga sering memberi bimbingan mengenai pengurusan jenazah dan sempat memberi buku mengenai ilmu berkenaan kepada rakannya sebelum meninggal dunia,” katanya.

Jenazah Abdul Razak dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Kampung Banggol 10 pagi tadi.

Disiarkan pada: December 30, 2017 @ 9:00am
d