mutakhir

Berakhir deritamu...

Oleh Faliq Lajim

Klang: “Sebelum ‘pergi’ Arif panggil saya, ‘papa’, ‘papa’, ‘papa’ dan minta saya duduk di sebelahnya. Selepas itu Arif minta isteri memangkunya dan minta dipeluk,” kata Mohd Nor Hafis Abd Aziz, 33, bapa Mohammad Ariffuddin, 9, menceritakan keadaan anaknya itu sebelum menghembuskan nafas terakhir, malam kelmarin.

Mohammad Ariffuddin atau Arif meninggal dunia berikutan barah tisu di rumah datuknya di Jalan Seri Kenangan, Meru, dekat sini jam 11.40 malam kelmarin.

Anak sulung daripada empat beradik itu disahkan menghidap kanser sarcoma atau kanser tisu sejak Januari lalu menyebabkannya hanya mampu terbaring.

Mohd Nor Hafis berkata, sebelum meninggal dunia, Arif kelihatan sangat tidak bermaya.

“Hampir setahun arwah melawan penyakit itu dan kami reda dengan pemergiannya.

“Saya sedih kerana sebelum dia meninggalkan kami, Arif meminta kami memeluknya,” katanya ditemui di sini, semalam.

Menurutnya, selepas isterinya memangku anak mereka, keadaan Arif semakin teruk dan tidak mampu bercakap.

“Kami minta dia berehat memandangkan keadaannya sangat lemah. Namun, selepas itu, ketika bapa saya cuba mengejut Arif dari tidur dia tidak memberi sebarang reaksi.

“Dari situ kami tahu, Arif sudah pergi meninggalkan kami,” katanya sebak.

Jenazah Arif selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Jalan Cempaka, Meru di sini, jam 10.30 pagi semalam.

Sebelum itu, jenazah dimandi dan dikafankan di rumah datuknya dan seterusnya disembahyangkan di Surau Darul Islam, Kapar.

Selain bapa, arwah meninggalkan ibunya, Norazlin Mohamad, 28, serta tiga adiknya iaitu Mohammad Airis Hafifi, 5, Adryan Mikail, 3, dan Nor Nawrah Darisya, dua bulan.

Kisahnya mendapat perhatian ramai selepas laporan muka depan akhbar ini pada 12 Julai lalu memaparkan penderitaan kanak-kanak ceria itu yang berisiko buta seumur hidup berikutan sel barah merebak dengan cepat sehingga ke otak dan menjejaskan organ dalaman lain.

Penyakit yang dihidapi sejak Januari lalu itu menyebabkan mata kirinya terjojol keluar manakala mata kanan hampir buta.

Dalam pada itu Mohd Nor Hafis berkata, mereka sekeluarga belum bersedia untuk pulang ke rumah kerana kenangan bersama Arif terlalu banyak di situ.

Katanya, pelbagai barangan arwah yang masih tersimpan rapi pasti mengingatkan mereka terhadap arwah.

Menurutnya, ketika ini mereka sekeluarga menetap di rumah bapanya sehingga selesai majlis tahlil arwah.

Katanya, selepas ini dia juga kembali bekerja selepas memutuskan untuk berhenti bagi menjaga Arif Februari lalu.

“Saya tak menyesal berhenti kerja. Saya bersyukur pilihan itu tepat apabila saya dapat meluangkan masa bersama Arif serta menjaganya sendiri hampir setahun,” katanya.

Mohd Nor Hafis turut mengucapkan terima kasih atas sokongan dan bantuan pelbagai pihak yang mendoakan anaknya itu termasuk penderma.

Disiarkan pada: December 30, 2017 @ 9:00am
d