mutakhir

Suami Amyza Aznan kena serangan jantung

Oleh Rudy Imran Shamsudin

Pelakon dan pelawak, Amyza Aznan berdepan dugaan besar apabila suaminya Khairil Idzhar Md Nazir ditahan di hospital kerana serangan jantung.

Situasi menjadi lebih rumit apabila dalam waktu sama dia juga harus menyelesaikan penggambaran sitcom terbaru Mamu Mami Gosip yang diterbitkan aktres popular, Fasha Sandha, pagi tadi.

Sewaktu dihubungi , hari ini, Amyza menjelaskan dia baru saja pulang dari lokasi penggambaran Mamu Mami Gosip dan kini berada di hospital Ampang Puteri.

“€œSekarang ini suami masih lagi ditempatkan di unit rawatan rapi dan saya mengharapkan keadaannya semakin baik berbanding semalam,”€ katanya.

Jelas Amyza lagi dia akui berasa panik dan agak kalut apabila suaminya tiba-tiba memberitahu yang dia ditahan di wad dan doktor mengesahkan dia mendapat serangan jantung.

Kata Amyza lagi, sebelum ini suaminya sudah mengadu berasa sakit dada, situasi itu dihadapi lebih sebulan.

“€œBagaimanapun pada fikiran dia dan saya, suami hanya sakit dada biasa dan sesekali batuk. Namun semalam dia berasa dadanya terlalu sakit dan memandu sendiri ke hospital.

“€œSampai saja di hospital, doktor terkejut kerana suami masih lagi boleh memandu kerana katanya, situasi itu sangat bahaya memandangkan dia boleh tidak sedarkan diri bila-bila masa,”€ katanya.

Mendengarkan penjelasan doktor itu, kata Amyza dia benar-benar bersyukur kerana suaminya masih dilindungi Allah SWT dan selamat sampai ke hospital dan mendapatkan rawatan.

Amyza meminta kepada semua pihak mendoakan agar kesihatan suaminya bertambah baik dan tiada komplikasi timbul yang boleh memburukkan keadaan.

Waktu sama dia turut merakamkan ucapan terima kasih kepada pihak produksi Mamu Mami Gosip yang memahami situasi dihadapi dan membantunya dan suami.

Disiarkan pada: December 30, 2017 @ 4:16pm
d