mutakhir

Kontena jatuh punya pasal

Oleh Fuad Hadinata Yaacob

LIMA kenderaan termasuk tiga kenderaan berat terbabit dalam kemalangan di Selekoh Hakim, Jalan Pelabuhan Barat, Pelabuhan Klang hari ini menyebabkan tiga pemandu cedera.

Kejadian pada 10.35 pagi itu menyebabkan kedua-dua jalan di Jalan Pelabuhan Barat tidak boleh dilalui menyebabkan kesesakan kira-kira enam kilometer.

Lima kenderaan yang terbabit dalam kejadian itu adalah treler, dua lori dan dua kereta masing-masing jenis Proton Iriz dan Waja.

Ketua Polis Daerah Klang Selatan Asisten Komisioner Shamsul Amar Ramli berkata, siasatan mendapati dua kontena yang dibawa sebuah treler terjatuh ke laluan bertentangan menyebabkan pelanggaran empat kenderaan lain.

Beliau berkata, dua kontena yang berisi simen itu dibawa tanpa dikunci pada badan treler menyebabkannya terjatuh.

Menurutnya, kontena pertama yang penuh berisi simen terjatuh dan terbalik ke kiri bahu jalan bertentangan selepas dilanggar sebuah lori manakala Proton Iriz yang dipandu lelaki berusia 30 tahun melanggar kontena kedua yang terjatuh itu.

"Kereta itu kemudian dilanggar dari belakang oleh sebuah lori gas diikuti Proton Waja melanggar belakang lori gas berkenaan.

"Kejadian ini menyebabkan pemandu kontena cedera tangan kanan, pemandu lori yang melanggar kontena pertama patah tulang hidung serta pemandu Proton Iriz cedera tangan kanan dan kepala," katanya hari ini.

Beliau berkata, mangsa yang cedera dihantar ke Hospital Tengku Ampuan Rahimah (HTAR) untuk rawatan lanjut.

Kejadian itu menyebabkan sebuah lori terbalik, dua kereta remuk dan lokasi dipenuhi dengan tumpahan simen.

Beliau berkata, kes disiasat mengikut Seksyen 43(1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987.

Disiarkan pada: December 30, 2017 @ 5:20pm
d