mutakhir

Rampas rokok seludup RM745,000

Oleh Mohamad Azim Fitri Abd Aziz

POLIS menahan pemandu lori berusia 34 tahun dan merampas 280 kotak besar mengandungi pelbagai jenama rokok seludup di Jalan Kuantan–Segamat, dekat Muadzam Shah, Rompin bernilai RM745,000, hari ini.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Pahang Senior Asisten Komisioner Othman Nanyan berkata, berdasarkan risikan dan maklumat awam yang diperoleh, pihaknya telah mengekori lori muatan tiga tan yang dipandu suspek pada 5.30 pagi.

Beliau berkata, anggota polis telah mengarahkan pemandu lori terbabit untuk memberhentikan kenderaan namun tidak diendahkan malah lelaki berkenaan turut memecut lorinya serta menghimpit kenderaan polis.

“Setelah dikejar selama beberapa minit lori itu akhirnya berhenti di depan restoran sebelum lelaki terbabit ditahan.

“Hasil pemeriksaan di dalam lori itu menemui ratusan kotak besar mengandungi pelbagai jenama rokok. Polis percaya rokok ini diseludup di Muadzam Shah untuk pasaran di beberapa daerah di negeri ini,” katanya dalam kenyataan, di Kuantan.

Othman berkata, pihaknya turut menyita lori berkenaan dan siasatan kini sedang diteruskan bagi mengesan anggota sindiket penyeludupan berkenaan.

Beliau berkata, siasatan dijalankan mengikut Seksyen 135(1)(d) Akta Kastam 1967.

Disiarkan pada: December 30, 2017 @ 6:36pm
d