mutakhir

Susah mereka susah kami

Alor Setar: Sesi persekolahan baru dua beradik yang terpaksa mengambil upah mengasingkan kepah bagi membeli pakaian sekolah di Kampung Batas Ban, Kuala Kedah, lebih bermakna apabila kisah mereka mendapat perhatian jurusolek Siti Nur Farah Ain Zakaria dan usahawan kosmetik Najmuddin Md Noor.

Norida Yahya, 14, dan adiknya Norizan, 13, terharu dengan keprihatinan orang ramai, sekali gus menjadi pendorong kepada mereka untuk belajar bersungguh-sungguh.

Kata Norida, sumbangan wang tunai yang diberikan akan disimpan untuk membeli barang keperluan mereka lima beradik selain untuk ibunya, Fatimah Mohamad, 37, yang menunggu masa untuk bersalin.

“Wang sumbangan ini akan digunakan untuk membayar yuran, membeli peralatan dan buku sekolah selain membeli keperluan bayi berikutan kandungan ibu saya menjangkau sembilan bulan.

“Sumbangan ini sangat bermakna malah kami lebih bersemangat untuk memulakan sesi persekolahan 2018 pada Isnin ini termasuk menerima ahli keluarga baru tidak lama lagi.

“Ini bermakna perbelanjaan kami sekeluarga akan turut meningkat. Saya dan Norizan tetap akan ke pelantar kepah pada hari cuti bagi membantu meringankan beban bapa,” kata pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Sri Pantai, Kuala Kedah itu.

Norida berkata, dia dan Norizan akan membahagikan masa sebaik mungkin supaya tidak tercicir dalam pelajaran selain turut menjalani latihan sukan angkat berat di sekolah pada sebelah petang.

Sementara itu, Siti Nur Farah Ain atau lebih dikenali sebagai Farah Ain, 29, berkata, dia tersentuh hati membaca laporan akhbar ini berhubung kisah dua beradik itu.

“Saya ingatkan kisah dua beradik ini di negeri lain, rupa-rupanya hanya di Kuala Kedah. Jadi saya rasa terpanggil untuk membantu mereka supaya dapat meneruskan persekolahan dengan lebih selesa.

“Saya harap sumbangan ini dapat mengurangkan beban mereka sekeluarga. Saya turut berhasrat memberi kelas solekan percuma kepada Norida yang menyatakan minatnya kepada saya,” katanya ketika ditemui selepas menyerahkan sumbangan wang tunai kepada keluarga berkenaan.

Bagi Najmuddin, 30, dia akan memantau keperluan adik beradik itu dari semasa ke semasa supaya nasib mereka terus dibela.

Kelmarin, Harian Metro melaporkan dua beradik itu gigih mencari duit sendiri bagi membeli barangan kelengkapan sekolah untuk mereka dan tiga adik-beradik lain dengan mengambil upah mengasingkan kepah sepanjang cuti penggal ini.

Disiarkan pada: December 31, 2017 @ 5:14am
d