mutakhir

MPV 'diseret' arus sungai

Oleh Norasikin Daineh

PEMUDA hilang manakala enam lagi selamat selepas MPV mereka hanyut dibawa arus sungai di Kampung Sungai Bintosan Darat, kira-kira 16 kilometer dari Kota Marudu.

Muhammad Asyraf Nurajim, 20-an, masih belum ditemui manakala kejadian dikatakan pada 2.50 pagi ini.

Sharif Ibrahim Sharif Saat, 39; Abdul Aminor Rashidillah Abd Rahman, 20; Mohd Salleh Hussain, 16: Sulaiman Hussain, 14; Abdul Halim Hussain, 10; dan Mohd Shazril Samad, berjaya keluar menerusi tingkap MPV yang dipecahkan.

Difahamkan, semua mangsa dalam perjalanan dari Kampung Bintasan Darat ke Kampung Tigaman dengan menaiki Toyota Innova.

Bagaimanapun, sebaik tiba di lokasi kejadian, jalan yang mereka lalui dilimpahi air sungai dan kenderaan mereka dihanyutkan arus deras sehingga masuk ke sungai.

Ketua Pusat Gerakan Operasi (PGO) Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sabah, Khatizah Rahaban, berkata pihaknya menerima panggilan pada 2.56 pagi.

Katanya, enam anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat Kota Marudu ke lokasi kejadian.

Menurutnya, MPV iyu dihanyutkan arus deras ketika melalui jalan yang dilimpahi air sungai.

“Operasi mencari dan menyelamat (SAR) segera dilakukan dan kenderaan itu ditemui kira-kira 30 meter dari lokasi ia dihanyutkan,” katanya ketika dihubungi, hari ini.

Khatizah berkata, operasi SAR masih diteruskan bagi mengesan mangsa.

Disiarkan pada: December 31, 2017 @ 9:27am
d