mutakhir

Berlari dalam dua tahun berbeza

Oleh Hamzah Osman

SERIBU peserta mengesahkan berlari dalam dua tahun berbeza menerusi 'Langkawi Fun Nite Run 2017-2018' di Dataran Lang, Langkawi, malam ini, sekali gus berpeluang membawa pulang hadiah keseluruhan berjumlah RM10,000.

Acara julung kali dianjurkan bersama Lembaga Pembangunan Langkawi (LADA) dan Persatuan Pelancongan Langkawi (LTA) itu bertujuan memeriahkan sambutan tahun baru selain memupuk semangat perpaduan dan integrasi antara kaum.

Ketua Pegawai Eksekutif LTA, Zainudin Kadir berkata, seramai 1,000 peserta termasuk dari dalam dan luar negara mendaftar dan bersedia menyertai acara itu yang dibahagikan kepada lima kategori utama.

Katanya, kategori dipertandingkan itu termasuk Terbuka Lelaki dan Wanita (18 hingga 49 tahun) membabitkan larian sejauh 10 kilometer (km), manakala Lelaki dan Wanita Veteran (50 tahun ke atas) dan Terbuka (18 tahun ke bawah) sejauh lima km.

"Acara ini dijangka bermula 10.30 malam ini dan penamatnya dijangka awal pagi esok iaitu selari dengan matlamat kita untuk memberi peluang peserta berlari dalam dua tahun berbeza.

“Ia sengaja disusun begitu bagi memberikan keunikan dan kemeriahan kepada penduduk tempatan dan pelancong yang berada di sekitar Dataran Lang untuk meraikan sambutan tahun baru 2018," katanya.

Pelepasan peserta bakal disempurnakan Ahli Parlimen Langkawi, Datuk Nawawi Ahmad.

Selain membawa pulang cenderahati, peserta yang mendaftar turut berpeluang memenangi cabutan bertuah berupa hamper barangan makanan dan barangan elektrik.

Disiarkan pada: December 31, 2017 @ 1:08pm
d