mutakhir

'Ayah nazak dalam tandas'

Oleh Mohamad Azim Fitri Abd Aziz

“MAK panggil suruh tengok keadaan ayah dalam tandas kerana ayah sedang nazak pada waktu itu dan kami adik beradik segera hubungi ambulans.

“Sebaik ambulans tiba dan pegawai perubatan melakukan bantuan pernafasan, ayah kemudian disahkan meninggal dunia.”

Itu kata anak kedua Allahyarham Datuk Mohd Shohaimi Jusoh, Mohd Irwan Afendi, 25, menceritakan detik sebelum bapanya dijemput Ilahi pada 4.15 pagi, hari ini di kediaman mereka di Sungai Isap Damai, Kuantan.

Katanya, ayahnya ada mengadu tidak sihat beberapa hari lepas namun masih meneruskan tugas-tugas sebagai Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Lepar.

“Saya masih belum pasti punca ayah meninggal dunia, sebelum ini ayah memang menghidap kencing manis,” katanya ketika ditemui selepas selesai urusan pengebumian di Tanah Perkuburan Islam Gambang, Kuantan, 1.40 tengah hari.

Dalam nada sebak Mohd Irwan Afendi berkata, mereka adik beradik tidak mampu membalas jasa arwah ayah mereka kerana ketika hayatnya, dia bukan saja bapa yang penyayang malah cukup mengambil berat mengenai hal keluarga walaupun sibuk dengan urusan politik dan tugasan harian.

Mohd Shohaimi, 55, meninggalkan balu Datin Rohaizan Yatim, 52, enam cahaya mata berusia 14 hingga 26 tahun dan seorang cucu berusia lima bulan.

Terdahulu, Allahyarham yang juga Naib Ketua Bahagian UMNO Paya Besar selamat dimandi dan disembahyangkan di Masjid Sungai Isap Damai pada 11.45 pagi.

Pemangku Raja Pahang Tengku Abdullah Sultan Ahmad Shah, Menteri Besar Datuk Seri Adnan Yaakob dan beberapa rakan politik turut bersama kira-kira 500 jemaah menunaikan solat jenazah di masjid berkenaan.

Sementara itu, Ahli Parlimen Paya Besar Datuk Seri Abdul Manan Ismail berkata, beliau tidak menyangka Allahyarham kembali ke Rahmatullah kerana baru bertemu dengannya Khamis lalu.

“Khamis lalu kami ada program bersama, penyampaian bantuan persekolahan. Dia maklum kurang sihat. Saya cukup terkesan dengan pemergian dia kerana dia kerja cukup kuat, selalu melawat kawasan dan bertemu rakyat,” katanya.

Abdul Manan berkata, sebagai sahabat yang mengenali Allahyarham sejak tahun 1994, dia cukup menghormati rakan politiknya itu kerana bersikap tegas selain tidak mempunyai sifat dendam.

Berita berkaitan

ADUN Lepar, Shohaimi Jusoh sudah tiada

Disiarkan pada: December 31, 2017 @ 3:17pm
d