mutakhir

Rempit sampai ke balai

Oleh Essa Abu Yamin

SALAH memilih lokasi, 44 mat rempit menanggung malu apabila terpaksa menolak motosikal masing-masing sejauh lebih 100 meter ke Balai Polis Sri Gading, Batu Pahat selepas disergah pihak berkuasa dalam operasi cegah aktiviti samseng jalanan awal pagi ini.

Operasi Ops Ambang Tahun Baru 2018 dijalankan Cawangan Trafik Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Batu Pahat di Jalan Kluang-Batu Pahat berdekatan Sri Gading itu selepas mendapati ia sering menjadi lokasi pilihan mat rempit untuk berlumba haram walaupun terletak berdekatan dengan balai polis.

Ketua Polis Daerah Batu Pahat, Asisten Komisioner Abdul Wahib Musa berkata, semua yang diperiksa membabitkan remaja dan belia yang berusia 19 hingga 28 tahun dalam operasi selama enam jam bermula 11 malam itu.

Katanya, sebanyak 47 saman dikeluarkan membabitkan beberapa kesalahan trafik seperti tiada lesen memandu, nombor pendaftaran tidak mengikut spesifikasi, tiada cermin sisi dan pengubahsuaian kenderaan.

Menurut Abdul Wahib, dalam operasi itu juga sebanyak 64 kenderaan diperiksa membabitkan 56 orang penunggang dan pembonceng serta lapan kereta.

"Operasi ini dijalankan adalah untuk membanteras aktiviti samseng jalanan yang berlumba haram pada malam minggu sehingga mengakibatkan kemalangan dan menyusahkan pengguna jalan raya lain," katanya.

Menurutnya, operasi berkenaan turut menyita 23 motosikal dan tiga kereta mengikut Seksyen 60 (1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987 atas pelbagai kesalahan.

"Perbuatan kumpulan penunggang motosikal itu membuat bising dengan berlumba sesama mereka sangat berbahaya kepada diri sendiri dan orang lain.

"Polis tidak akan berkompromi dengan aktiviti samseng jalanan dan akan sentiasa bertindak mengikut undang-undang bagi membanteras kegiatan mereka," katanya.

Disiarkan pada: December 31, 2017 @ 4:33pm
d