mutakhir

Mengaku salah tipu MARA

Oleh Muhamaad Razis Ismail

KONTRAKTOR didenda RM30,000 oleh Mahkamah Sesyen Kota Bharu, hari ini, terhadap tiga tuduhan membuat permohonan Skim Pembiayaan Kontrak Ekspres (SPiKE) mengandungi surat Pesanan Belian palsu berjumlah lebih setengah juta terhadap Majlis Amanah Raya Rakyat (MARA) tiga tahun lalu.

Hakim Ahmad Bazli Bahruddin menjatuhkan hukuman itu selepas tertuduh, Ahmad Hizwani Shafii, 37, mengaku salah terhadap semua tuduhan.

Mengikut pertuduhan pertama hingga ketiga, Ahmad Hizwani didakwa mengemukakan tiga permohonan pembiayaan SPiKE yang mengandungi surat pemalsuan bagi pesanan belian berjumlah RM559,000 kepada dua penolong pegawai MARA daerah Kota Bharu dan Tanah Merah.

Tertuduh berbuat demikian di pejabat MARA Kelantan dan di pejabat MARA daerah Tanah Merah pada 8 pagi hingga 5 petang, antara 16 Mei hingga 15 Julai 2013.

Kesalahan didakwa mengikut Seksyen 471 Kanun Keseksaan (Akta 574) dan boleh dihukum mengikut Seksyen 465 akta sama yang memperuntukkan hukuman penjara boleh sampai dua tahun atau denda atau dengan kedua-dua sekali, jika sabit kesalahan.

Terdahulu, peguam Mohd Baharuddin Ahmad Kassim yang mewakili tertuduh memohon hukuman denda minimum dengan mengambil kira latar belakang tertuduh.

"Anak guam saya perlu menyara dua anak masih kecil dan dua anak arwah abangnya," katanya.

Bagaimanapun Timbalan Pendakwa Raya Shahidah Muslimah Roslan memohon hukuman setimpal dikenakan untuk memberi pengajaran kepada tertuduh dan masyarakat.

Disiarkan pada: December 31, 2017 @ 5:45pm
d