mutakhir

Ajal dilanggar Kancil

Oleh Mohamad Zulhairie Manzaidi

PEMBONCENG motosikal Honda EX 5 maut selepas terbabit dalam kemalangan dengan kereta di Kilometer 3 Jalan Kota Bharu - Pengkalan Kubor, Tumpat, awal pagi tadi.

Mangsa Mohd Azizul Abdullah, 30, meninggal dunia 7.50 pagi tadi ketika mendapatkan rawatan di Hospital Raja Perempuan Zainab II (HRPZ II) Kota Bharu selepas parah di seluruh badan.

Manakala penunggang motosikal yang juga rakan mangsa, Kamarul Eykram Kamaruzaman, 23, parah dan masih menerima rawatan di Hospital Universiti Sains Malaysia (HUSM) Kubang Kerian.

Dalam kejadian 1.15 pagi tadi, mangsa bersama Kamarul Eykram dalam perjalanan ke Kota Bharu dari arah Tumpat.

Ketua Polis Daerah Tumpat, Superintendan Ab Rashid Mat Daud berkata, sebaik tiba di tempat kejadian, motosikal yang dibonceng mangsa bersama rakannya dilanggar dari belakang oleh Perodua Kancil.

"Rakan mangsa yang ketika itu menunggang di lorong tengah tidak sempat mengelak apabila pemandu kereta terbabit menukar lorong dari kiri ke kanan secara tiba-tiba.

"Akibat perlanggaran itu, mangsa bersama rakannya terjatuh di tengah jalan sebelum dikejarkan ke hospital,” katanya.

Menurutnya, rakan mangsa masih mendapatkan rawatan HUSM selepas parah di kepala, patah tulang rusuk dan patah ibu jari kiri.

"Kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 dan siasatan lanjut diteruskan," katanya.

Disiarkan pada: December 31, 2017 @ 6:27pm
d