mutakhir

Remaja maut digilis treler

Oleh Nur Saliawati Salberi

PENUNGGANG motosikal maut selepas terperosok ke bawah trelar di Jalan Pantai Klebang, Melaka Tengah, hari ini.

Dalam kejadian kira-kira jam 12 tengah hari itu, Muhammad Aliff Najhmie Abdullah Sani, 17, maut di tempat kejadian akibat digilis kenderaan berat itu.

Timbalan Ketua Polis Daerah Melaka Tengah Superintendan Mohd Kamal Zainal berkata, kemalangan membabitkan sebuah motosikal jenis SYM dengan treler membawa muatan 32 tan gelung besi.

Beliau berkata, sebelum kemalangan kedua-dua kenderaan berkenaan dari arah bulatan Dataran 1Malaysia Klebang menghala ke persimpangan Pulau Gadong.

“Siasatan awal mendapati, kemalangan dipercayai berlaku apabila mangsa cuba memotong treler namun selepas itu cuba mengelak lubang di sebelah kiri jalan.

“Motosikalnya hilang kawalan sebelum terjatuh dan termasuk ke bawah treler,” katanya.

Beliau berkata, mayat mangsa dihantar ke Jabatan Forensik Hospital Melaka bagi proses bedah siasat.

“Pemandu lori berusia 27 tahun dibawa ke Balai Polis Trafik Melaka Tengah, untuk diambil keterangan dan siasatan dilakukan mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987,” katanya.

Disiarkan pada: December 31, 2017 @ 6:59pm
d