mutakhir

Riadah bertukar tragedi

Oleh Mohd Hafizee Mohd Arop

WANITA ditemui lemas selepas dipercayai mandi di kawasan bekas lombong yang dijadikan kolam ikan berdekatan rumahnya di Kampung Pasir, Batu 10 Tanjung Tualang, Batu Gajah, 4 petang hari ini.

Dalam kejadian itu, mangsa Intan Nor Farhana Ahmad Safawi, 23, dipercayai pergi ke kawasan itu bersama beberapa rakannya untuk berkelah.

Difahamkan, mayat mangsa berjaya ditemui oleh pasukan mencari dan menyelamat dalam keadaan terapung pada jarak lima meter dari lokasi kejadian pada 5 petang.

Pemangku Ketua Polis Daerah Batu Gajah, Superintendan Tan Boon Hooi berkata, mangsa dipercayai mandi di kawasan bekas lombong yang dijadikan kolam ikan itu bersama beberapa rakannya sebelum dia secara tiba-tiba lemas.

Katanya, mayat mangsa kemudiannya berjaya ditemui dan dikeluarkan dari lombong yang dianggarkan sedalam 2.5 meter oleh pasukan mencari dan menyelamat.

"Mayat mangsa kemudiannya dibawa ke Jabatan Forensik Hospital Batu Gajah untuk bedah siasat dan siasatan lanjut punca kejadian masih dalam siasatan.

"Polis menasihatkan orang ramai supaya tidak mandi atau mendekati kawasan lombong atau kolam yang tidak diketahui kedalamannya kerana ia boleh membahayakan nyawa," katanya.

Sementara itu, Jurucakap Jabatan Bomba dan Penyelamat (JBP) Perak berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan pada 4.02 petang sebelum sepasukan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Batu Gajah bergegas ke lokasi kejadian.

Katanya, operasi mencari dan menyelamat kemudiannya dijalankan sebelum mayat mangsa berjaya ditemui pada jarak lima meter dari lokasi kejadian dan menyerahkannya kepada polis untuk tindakan lanjut.

Menurutnya, operasi kemudiannya ditamatkan 5.25 petang.

Disiarkan pada: December 31, 2017 @ 8:16pm
d