mutakhir

Laluan terus bebas tol

Oleh Siraj Mohd Zaini\

SELEPAS lebih 24 tahun beroperasi, palang tol di Plaza Tol Sungai Rasau dan Plaza Tol Batu Tiga, Shah Alam diangkat untuk selama-lamanya tepat jam 12 tengah malam ini sebagai simbolik bagi menandakan tamatnya kutipan tol di kedua-dua plaza tol berkenaan.

Plaza tol berkenaan mula beroperasi sejak November 1993 dan pemansuhannya diumumkan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak dalam Bajet 2018.

Keputusan pemansuhan itu dibuat 20 tahun lebih awal daripada tempoh perjanjian konsesi Projek Lebuhraya Utara-Selatan (PLUS).

Kira-kira 1,000 orang hadir di majlis kesyukuran di Plaza Tol Sungai Rasau, sejak jam 8 malam tadi.

Turut hadir Menteri Kesejahteraan Bandar, Perumahan, dan Kerajaan Tempatan Tan Sri Noh Omar, Timbalan Menteri Kerja Raya Datuk Rosnah Abdul Rashid Shirlin, Ketua Pengarah Lembaga Lebuhraya Malaysia (LLM) Datuk Ismail Md Salleh dan Pengarah Urusan PLUS Datuk Azman Ismail.

Pada majlis berkenaan, Datuk Azman menyerahkan dokumen rasmi iaitu surat serah kuasa kepada Datuk Ismail.

Berikutan itu, operasi serta penyelenggaraan Lebuhraya Persekutuan menjadi tanggungjawab JKR dan diwartakan sebagai Jalan Persekutuan.

Sebelum ini, pengguna Kelas 1 yang melalui Sungai Rasau perlu membayar RM1 dan menerusi pemansuhan ini orang ramai boleh berjimat antara RM92.40 hingga RM126 sebulan.

Sementara itu di Batu Tiga, pengguna Kelas 1 perlu membayar RM1.10 dan orang ramai boleh berjimat RM48.40 hingga RM66 sebulan.

Disiarkan pada: January 1, 2018 @ 12:29am
d