mutakhir

Isteri Pengarah JAIPk meninggal dunia

Oleh Balqis Jazimah Zahari

ISTERI kepada Pengarah Jabatan Agama Islam Perak (JAIPk) meninggal dunia di Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB), semalam akibat kanser paru-paru.

Allahyarham Noorul Huda Mokhtar, 53, menghembuskan nafas terakhir di sisi suaminya, Datuk Mohd Yusop Husin pada 6.30 petang.

Mohd Yusop ketika ditemui berkata, arwah dikejarkan ke HRPB petang semalam sebelum meninggal dunia setengah jam selepas itu.

Katanya, arwah isterinya dikesan mempunyai ketumbuhan dan mengidap kanser paru-paru sejak awal tahun lalu dan keadaan kesihatannya semakin teruk sejak sebulan lalu.

"Dalam tempoh sebulan ini arwah masih boleh berjalan dan menjalani kehidupan hariannya.

"Namun, sejak tiga hari lalu dia mengalami masalah kesukaran bernafas dan tidak mempunyai selera makan," katanya yang ditemui di kediamannya di Lengkok Tambun Permai 4 di Tambun, Ipoh hari ini.

Allahyarham anak ketiga daripada 11 beradik itu meninggalkan suami serta empat anaknya.

Mohd Yusop berkata , jenazah isterinya akan dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Tambun selepas solat Zuhur hari ini.

Disiarkan pada: January 1, 2018 @ 10:34am
d