mutakhir

Ibu bapa buat persiapan saat akhir

Oleh Norhadiani Baharom

Kuala Lumpur: Esok sekolah dibuka tetapi masih ada ibu bapa yang memanfaatkan peluang saat akhir ini untuk membeli kelengkapan sekolah anak masing-masing.

Tinjauan Harian Metro di butik kelengkapan sekolah di Mutiara Damansara mendapati pasangan suami isteri Suhardi Idris dan Zullfa Yusoff, masing-masing berusia 43 tahun, sedang membeli pakaian sekolah untuk anak mereka yang juga pasangan kembar, Ahmad Shafiq dan Ahmad Syauqi, 11, yang bakal memulakan persekolahan sebagai murid tahun enam.

“Persiapan seperti baju sekolah biasanya dibuat lebih awal kerana bimbang kehabisan saiz baju dan seluar.

“Bagaimanapun, di sini, ibu bapa tidak perlu risau kerana saiz baju sekolah sentiasa ada stok.

“Jadi bagi ibu bapa yang baru saja berpeluang mendapatkan cuti hujung tahun, mereka tidak perlu bimbang untuk mendapatkan pakaian seragam anak-anak,” kata Suhardi.

Jurujual, Norazizah Abdullah, pula berkata, tiada diskaun untuk pembelian set lengkap pakaian sekolah sebaliknya pihaknya memperkenalkan tawaran menarik yang mana dengan pembelian lima pasang baju sekolah, akan diberikan sepasang pakaian sekolah secara percuma.

“Pihak kami memperkenalkan tawaran beli lima set lengkap pakaian sekolah dapat percuma satu, sejak 1 November lagi dan tawaran ini akan berakhir pada 31 Januari 2018.

“Sambutan yang kami terima dari pelanggan amat menggalakkan khususnya di awal musim cuti sekolah.

“Biasanya hujung-hujung cuti sekolah ini pelanggan kurang kerana ramai ibu-bapa sudah membuat persiapan sejak awal lagi,” katanya.

Disiarkan pada: January 1, 2018 @ 10:43am
d