mutakhir

Kenderaan tetamu kahwin hanyut

Oleh HM Digital

Kota Marudu: Perjalanan pulang tujuh sekeluarga selepas menghadiri majlis perkahwinan berakhir dengan tragedi apabila seorang daripada mereka dikhuatiri lemas apabila kenderaan pelbagai guna (MPV) dinaiki dihanyutkan arus sungai di Sungai Bintasan Darat, di sini, semalam.

Dalam kejadian kira-kira 2.30 pagi itu, mangsa, Muhammad Asyraf Nurajim, 20, masih belum ditemui selepas dipercayai hanyut di sungai itu dan operasi mencari dan menyelamat (SAR) sedang dilakukan oleh pasukan keselamatan terdiri daripada polis dan anggota bomba.

Enam lagi mangsa, Sharif Ibrahim Sharif Saad, 39; Abdul Aminor Rashidillah Abd Rahman, 20, Mohd Salleh Hussain, 16, Sulaiman Hussain, 14, Abdul Halim Hussain, 10, dan Mohd Shazril Samad berjaya menyelamatkan diri selepas cermin Toyota Innova itu dipecahkan.

Semua mangsa mempunyai pertalian keluarga itu baru pulang dari majlis perkahwinan selepas selesai menyewakan set karaoke di Kampung Bintasan Darat, kira-kira tujuh kilometer dari kampung mereka.

Difahamkan, semua mereka menaiki MPV menuju ke Kampung Tigaman melalui jalan raya itu.

Bagaimanapun, sebaik tiba di lokasi, laluan itu dinaiki air sebelum kepala air datang secara tiba-tiba sehingga kenderaan dinaiki mereka dihanyutkan arus deras ke sungai yang terletak kira-kira tiga meter dari jalan raya.

Menurut Siti Zubaidah, 19, bapanya, Sharif Ibrahim, bersama enam anak saudaranya yang lain keluar ke kampung berkenaan kira-kira 10 pagi, kelmarin.

“Mereka menyediakan perkhidmatan menyewakan set karaoke di majlis perkahwinan di kampung itu dan selesai pada tengah malam tadi (semalam).

“Tetapi tidak sangka pula kejadian itu berlaku dan kini kami masih menunggu perkembangan sepupu saya yang hilang,” katanya ketika dihubungi, semalam.

Sementara itu, Ketua Pusat Gerakan Operasi (PGO) Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sabah, Khatizah Rahaban berkata, pihaknya menerima panggilan pada jam 2.56 pagi sebelum mengarahkan enam anggota bomba ke lokasi kejadian yang terletak sejauh 16 kilometer dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kota Marudu.

“Sebaik tiba, sebuah kenderaan dihanyutkan arus sungai ketika melalui jalan yang dinaiki air.

“Operasi SAR segera dilakukan dan kenderaan itu berjaya ditemui kira-kira 30 meter dari lokasi ia dihanyutkan,” katanya.

Khatizah berkata, terdapat tujuh mangsa dalam kenderaan itu, namun enam daripadanya dimaklumkan berjaya menyelamatkan diri.

“Enam mangsa berjaya menyelamatkan diri keluar melalui cermin pintu yang dipecahkan, manakala seorang lagi mangsa lelaki berusia 20-an masih hilang.

“Operasi SAR masih diteruskan bagi mengesan mangsa,” katanya.

Ketua Polis Daerah Superintendan Izaan Abdullah berkata, hasil siasatan awal, mangsa yang hilang duduk di bahagian belakang dalam kenderaan itu.

“Hasil pemeriksaan awal pada kenderaan mendapati cermin tingkap bahagian belakang pecah.

“Bagaimanapun, mangsa tidak sempat keluar dan dipercayai hanyut di sungai berkenaan,” katanya.

Disiarkan pada: January 1, 2018 @ 10:50am
d