mutakhir

Tiada bilik, katanya [METROTV]

Oleh Nur Saliawati Salberi

SEMBILAN pasangan kekasih ditahan Jabatan Agama Islam Melaka (JAIM) dipercayai berkhalwat dalam serbuan ke tiga hotel bajet di Melaka Tengah, hari ini.

Op Ambang Tahun Baharu itu dijalankan selama lima jam dan berakhir pada 4.30 pagi, menyasarkan hotel bajet yang sering dijadikan destinasi pasangan bukan mahram.

Pengarah JAIM Md Azhan Samat berkata, 18 individu ditahan selepas didapati tinggal bersekedudukan di dalam bilik tanpa sebarang ikatan yang sah.

"Mereka yang ditahan berusia antara 22 hingga 43 tahun, malah ada di antara pasangan ini sanggup memandu dari luar Melaka seperti Selangor dan Kuala Lumpur hanya untuk menginap di sini.

"Ketika pemeriksaan dijalankan, pelbagai alasan diberi oleh pasangan yang ditahan termasuk datang ke sini untuk mencari kerja selain kerana tiada bilik mereka terpaksa tinggal di dalam bilik yang sama," katanya.

Beliau berkata, kesemua yang ditahan kemudian dibawa ke pejabat JAIM untuk diambil keterangan sebelum dibebaskan dengan jaminan.

"Mereka ini akan ditahan dalam masa 24 jam untuk diambil keterangan bagi melengkapkan siasatan mengikut Seksyen 53 Enakmen Kesalahan Syariah Negeri Melaka 1991 kerana berkurung mendatangkan syak," katanya.

Disiarkan pada: January 1, 2018 @ 12:07pm
d