mutakhir

Padah tiada lesen

Oleh Mohamad Azim Fitri Abd Aziz

PELAJAR tingkatan tiga sanggup mempertaruhkan nyawanya untuk meloloskan diri daripada sekatan jalan raya sebelum motosikal ditunggang terbabit dalam kemalangan di Jalan Bukit Sekilau, Kuantan, hari ini.

Sebaik terjatuh dan mengalami kecederaan di bahagian kaki dan tangan, dia bersama rakan pembonceng berusia 16 tahun tetap berusaha melarikan diri sebelum berjaya ditangkap.

Dua remaja berkenaan ditahan dalam Op Ambang Tahun Baru yang dilakukan polis bermula 2 pagi di Jalan Bukit Sekilau dan Jalan Tun Ismail, Kuantan bagi membanteras kegiatan samseng jalanan.

Ketika ditanya mengenai tindakan nekad mereka cuba melarikan diri, remaja berusia 15 tahun terbabit memberikan alasan dia bimbang diperiksa kerana tidak mempunyai lesen.

Dia turut mendakwa motosikal ditunggang adalah milik kakaknya selain mendapat kebenaran ibunya untuk keluar bersama rakan.

“Saya bawa motosikal ini suka-suka saja bang. Mana ada kami berlumba. Kami cuma ikut konvoi motosikal untuk sambut Tahun Baru,” katanya.

Sementara itu, Pegawai Turus Penguatkuasaan Trafik Pahang Asisten Superintendan Ahmad Adnan Mohamad berkata, Op Ambang Tahun Baru terbabit bertujuan mencegah kegiatan lumba haram serta kegiatan samseng jalanan.

Katanya, operasi sehingga 5 pagi itu menyita 21 motosikal atas kesalahan tidak mempunyai cukai jalan selain penunggang tidak mempunyai lesen.

“Sebanyak 81 saman dikeluarkan ke atas motosikal dan kereta dalam operasi ini.

“Antara kesalahan yang dilakukan seperti mengubah suai kenderaan serta tidak mempunyai cukai jalan,”€ katanya.

Beliau turut memberi amaran kepada ibu bapa atau penjaga yang membenarkan anak yang tidak mempunyai lesen menggunakan kenderaan kerana mereka boleh didakwa di bawah Akta Pengangkutan Jalan 1987.

“Saya minta ibu bapa lebih peka terhadap anak mereka, jangan benarkan anak yang tidak mempunyai lesen menggunakan kenderaan milik mereka. Jika ia dilakukan, mereka juga boleh didakwa,” katanya.

Disiarkan pada: January 1, 2018 @ 12:25pm
d