mutakhir

Sekarang siapa yang bodoh?

Oleh Harun Yahya

LELAKI ditahan polis kerana memaki dan menunjukkan isyarat lucah kepada anggota polis yang memintanya untuk menunjukkan kad pengenalan selepas terbabit dalam kemalangan di Taman Rejang, di Jalan Emplam, Sibu, malam tadi.

Dalam kejadian 9.20 malam itu, suspek berusia 21 tahun menunggang motosikal ditahan anggota polis yang menjalankan rondaan di kawasan berkenaan sebelum menerima laporan mengenai kemalangan jalan raya membabitkan motosikal dan kereta.

Ketua Polis Daerah Sibu Asisten Komisioner Zailanni Amit berkata, anggota Unit Kereta Peronda (MPV) Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Sibu kemudiannya dihantar ke lokasi kejadian untuk tindakan lanjut.

Menurutnya, sebaik tiba, anggota polis meminta kad pengenalan suspek untuk diperiksa namun permintaan itu menyebabkan suspek berang dan enggan bekerjasama.

"Anggota polis memaklumkan pemeriksaan kad pengenalan adalah prosedur untuk mendapatkan maklumat lanjut mengenai suspek namun lelaki terbabit masih tidak berpuas hati.

"Suspek terus mempertikaikan arahan yang diberikan anggota selain melakukan provokasi. Suspek kemudiannya menjerit 'polis bodoh' berulang kali kepada anggota bertugas," katanya kepada Harian Metro.

Zailanni berkata, tidak setakat mengeluarkan makian, suspek juga bertindak agresif menyebabkan lelaki itu terpaksa ditahan.

Katanya, ketika ditahan suspek cuba untuk melepaskan diri namun berjaya ditahan untuk siasatan lanjut.

"Suspek kemudiannya dibawa ke IPD Sibu untuk tindakan lanjut untuk ujian air kencing dan kes disiasat mengikut Seksyen 186 Kanun Keseksaan kerana menghalang penjawat awam melaksanakan tugas yang boleh dikenakan hukuman penjara maksimum dua tahun atau denda sehingga RM10,000 atau keduanya jika sabit kesalahan.

"Orang ramai dinasihatkan untuk memberikan kerjasama kepada polis sekiranya berlaku kemalangan supaya tindakan selanjutnya dapat diambil segera," katanya.

Disiarkan pada: January 1, 2018 @ 3:49pm
d