mutakhir

Janji sampai ke sekolah

Oleh Syaherah Mustafa

SEORANG bapa terpaksa membawa dua anaknya menaiki sampan sejauh dua kilometer untuk ke sekolah selepas kediamannya di Kampung Lanchang, Rantau Panjang dinaiki air sedalam 0.6 meter, hari ini.

Mustafa Sulaiman, 47, berkata, kawasan rumahnya sudah dua hari dinaiki air berikutan hujan lebat sejak beberapa hari lalu.

Katanya, rumahnya dinaiki air kerana berada di kawasan rendah.

"Saya keluar membawa anak, Abdul Khaidir Muadzam, 12, dan Adam Firdaus, 8, menaiki sampan seawal 6.30 pagi kerana perlu mengharung banjir. Sebaik tiba di tempat selamat, saya membawa mereka ke sekolah dengan motosikal.

"Selagi saya merasakan keadaan masih terkawal dan selamat, saya akan pastikan mereka ke sekolah biarpun terpaksa meredah banjir.

"Lagipun, hari ini adalah hari pertama, sudah tentu mereka teruja dan tidak sabar untuk memulakan sesi persekolahan dengan rakan," katanya ditemui rumahnya selepas mengambil anaknya yang belajar di Sekolah Rendah Agama (Arab) Diniah Bongor, hari ini.

Menurutnya, segala persiapan persekolahan disediakan awal kerana sudah menjangkakan banjir gelombang kedua berlaku awal tahun ini.

"Kami sudah mengambil langkah berjaga-jaga termasuk menyimpan segala dokumen penting dan peralatan sekolah di tempat selamat.

"Setiap tahun kami keluarga terpaksa menghadapi bencana banjir ini dan akan berpindah ke pusat pemindahan sementara (PPS) jika air terus naik sehingga paras bahaya," katanya.

Disiarkan pada: January 1, 2018 @ 4:15pm
d