mutakhir

Isteri orang ditangkap khalwat

Oleh Zaid Salim

TIGA pasangan termasuk seorang wanita berstatus isteri ditahan Jabatan Hal Ehwal Agama Terengganu (JHEAT) dalam Ops Tahun Baru di beberapa hotel bajet di sekitar Kuala Terengganu, pagi hari ini.

Wanita berusia 38 tahun dari Kampung Raja, Besut itu ditahan bersama pasangannya berusia 30 tahun ketika berada dalam bilik hotel bajet di bandar raya ini pada 8.50 pagi.

Ketika ditahan, wanita yang mempunyai seorang anak lelaki berusia 18 tahun mendakwa dia sedang menghantar makanan untuk teman lelakinya yang baru tiba di negeri ini semalam.

Siasatan JHEAT terhadap pasangannya yang berasal dari Sarawak itu mengaku datang ke negeri ini untuk menyambut tahun baru bersama wanita terbabit yang dikenalinya melalui laman sosial.

Pesuruhjaya JHEAT, Wan Ismail Sahaimi Wan Omar berkata, operasi selama dua jam bermula 7.30 pagi itu diketuai Penolong Pesuruhjaya (Operasi) JHEAT Kuala Terengganu, Amirul Akram bersama 20 anggota penguat kuasa.

Menurutnya, semua pasangan berusia antara 20 hingga 38 tahun akan didakwa mengikut Seksyen 29 Enakmen Kesalahan Jenayah Syariah Takzir Terengganu 2001 kerana persediaan untuk melakukan persetubuhan luar nikah.

Katanya, mereka itu boleh dikenakan hukuman denda maksimum sebanyak RM3,000 atau dua tahun penjara jika disabitkan dengan kesalahan.

"Kesemua mereka itu sudah dibebaskan dengan jaminan sementara menunggu pendakwaan di mahkamah selepas selesai diambil keterangan," katanya.

Disiarkan pada: January 1, 2018 @ 4:16pm
d