mutakhir

Jumpa mayat dalam tali air

Oleh Zulfa Mohamad

RASA curiga pengguna jalan raya sebaik ternampak motosikal di tepi tali air dekat Permatang Tiga, Kepala Batas, membawa kepada penemuan mayat lelaki, hari ini.

Saksi berkata, dia melalui jalan berkenaan pada 8.15 pagi dan ternampak motosikal biru di tepi tali air.

Katanya, dia yang turun membuat pemeriksaan kemudian menemui mayat lelaki dalam tali air berkenaan dengan kesan kecederaan di kepala lalu membawanya naik ke darat dengan bantuan orang awam.

Kakitangan perubatan Hospital Kepala Batas (HKB) dan Angkatan Pertahanan Awam (APM) yang bergegas ke tempat kejadian mendapati mangsa sudah meninggal dunia.

Ketua Polis Daerah Seberang Prai Utara (SPU) Asisten Komisioner Noorzainy Mohd Noor berkata, siasatan awal mendapati mangsa berusia 22 tahun dipercayai dalam perjalanan dari arah Permatang Tiga menghala Permatang Bogak.

Menurutnya, polis tidak menolak kemungkinan motosikal mangsa terbabas sebelum merempuh tiang elektrik lalu terjunam ke dalam parit di kanan jalan.

"Berdasarkan kesan kemalangan, mangsa mungkin merempuh tiang elektrik terlebih dulu sebelum jatuh ke dalam parit yang mempunyai kedalaman antara 1.5 meter (m) hingga 2.5 m menyebabkan mangsa lemas selain cedera di kepala.

"Mangsa dihantar ke HKB untuk dibedah siasat dan orang ramai yang mempunyai maklumat mengenai kejadian diminta tampil bagi membantu siasatan," katanya.

Kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Disiarkan pada: January 1, 2018 @ 5:04pm
d