mutakhir

Hilang kawalan, terbalik, terbakar

Oleh Khairul Najib Asarulah Khan

LELAKI maut selepas kereta dipandu rakan wanitanya terbalik di Kilometer 228.2, Lebuhraya Utara Selatan (PLUS), arah selatan berhampiran Plaza Tol Pedas-Linggi, Rembau, hari ini.

Pada kejadian 9 pagi, mangsa, T Sharvin, 22 maut di lokasi manakala rakannya, S Kaushalya Sharon, 21 parah pada anggota badan.

Pemangku Ketua Polis Daerah Rembau, Asisten Superintendan Nazruel Ekram Abu Shari berkata, kedua-dua mangsa dari arah Seremban menuju Melaka dengan menaiki Proton Wira.

Katanya, sebaik tiba di lokasi kenderaan itu hilang kawalan lalu merempuh pembahagi jalan sebelah kiri dan terbalik.

"Tidak cukup dengan itu, kereta dinaiki turut terbakar sebelum dipadam pekerja Projek Penyelenggaraan Lebuhraya Berhad (PROPEL). Akibat kejadian, Sharvin maut selepas patah tengkuk manakala rakannya parah di badan," katanya.

Nazruel Ekram berkata, kedua-dua mangsa difahamkan penuntut universiti swasta di Kuala Lumpur.

"Mayat dibawa ke Hospital Tampin manakala Kaushalya Sharon dibawa ke Hospital Melaka. Kes disiasat mengikut Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987," katanya.

Sementara itu Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBDP) Rembau, Mohd Fuad Majid berkata, pihaknya menerima panggilan awam 9.03 pagi mengerahkan enam anggota ke lokasi.

Katanya, sebaik tiba kedua-dua mangsa didapati tersepit sebelum dikeluarkan dan diserahkan kepada pihak polis.

Disiarkan pada: January 1, 2018 @ 5:41pm
d