mutakhir

Tak tau tambang feri naik

Oleh Adie Suri Zulkefli

KERAJAAN negeri tidak dimaklumkan mengenai caj RM3 bagi pembelian tiket feri Langkawi di kaunter menyebabkan kenaikan tambang yang berkuat kuasa hari ini.

Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan, Pengangkutan dan Badan-Badan Bukan Kerajaan negeri, Datuk Tajul Urus Mat Zain berkata, berikutan itu, kerajaan negeri akan meneliti perkara berkenaan segera termasuk mengapa pihaknya tidak dimaklumkan mengenai perkara itu.

"Ia mengejutkan bagi kita (kerajaan negeri) dan kita akan minta penjelasan lanjut mengenainya daripada Jabatan Laut Malaysia. Bagi kerajaan negeri, ia suatu yang tidak wajar apabila kenaikan caj dibuat tanpa sebarang makluman sama ada kepada kerajaan negeri atau pengguna awam terlebih dulu.

"Sepatutnya ada kaedah lain untuk tingkatkan kesedaran mengenai pembelian secara dalam talian, bukannya terus kenakan caj tambahan untuk tujuan itu," katanya ketika ditemui meninjau sesi persekolahan hari pertama 2018 di Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC) Sin Kuo Min di Bedong, Sungai Petani, hari ini.

Beliau berkata demikian mengulas caj tambahan RM3 sehala yang dikenakan bagi tiket feri Langkawi sama ada dari Kuala Kedah atau Kuala Perlis bagi pembelian di kaunter yang berkuat kuasa hari ini.

Caj berkenaan menyebabkan tiket feri dari Kuala Kedah ke Langkawi naik kepada RM26 bagi dewasa dan RM20 bagi kanak-kanak.

Harga tiket di kaunter dari Kuala Perlis pula ialah RM21 bagi dewasa dan RM15 bagi kanak-kanak.

Tajul Urus berkata, Jabatan Laut Malaysia mengesahkan mengenai caj tambahan itu adalah sebagai tambahan kepada penumpang yang membeli tiket di kaunter namun tiada caj tambahan dikenakan bagi pembelian secara dalam talian.

"Pihak berkenaan (Jabatan Laut Malaysia) memaklumkan ia sebahagian daripada inisiatif menggalakkan penumpang supaya membeli tiket feri secara dalam talian, susulan pelaburan terbaru dibuat untuk menaik taraf sistem penjualan tiket elektronik untuk feri penumpang terbabit.

"Caj tambahan RM3 ini bagaimanapun dikatakan dikecualikan bagi penduduk Langkawi, walaupun mereka membelinya melalui kaunter," katanya.

Berita mengenai caj tambahan RM3 itu tersebar selepas maklumat mengenainya dimuat naik pelanggan ke laman sosial, selepas dikejutkan dengan kadar baharu tambang feri berkenaan ketika membeli di kaunter.

Disiarkan pada: January 1, 2018 @ 6:12pm
d