mutakhir

Kutipan tol dah mansuh lah

Oleh Siraj Mohd Zaini

PALANG tol sudah dibuka sepenuhnya dan papan elektronik di belakang kaunter pembayaran tol tertulis 'tidak beroperasi' supaya kenderaan boleh terus melaluinya tanpa perlu berhenti.

Namun, masih terdapat segelintir pemandu kenderaan yang terkeliru dan berhenti seperti mahu membayar tol kerana mungkin terlupa mengenai pemansuhan kutipan tol di Plaza Tol Sungai Rasau, Klang dan Plaza Tol Batu Tiga, Shah Alam.

Kedua-dua plaza tol yang sudah beroperasi sejak November 1993 itu akhirnya ditutup tepat 12 tengah malam tadi, sekali gus meninggalkan kenangan dan sejarah tersendiri.

Malah, ia disambut rasa syukur oleh ratusan ribu pengguna yang melalui plaza tol itu setiap hari selepas perkara itu diumumkan Najib pada pembentangan Bajet 2018, 27 Oktober tahun lalu.

Bagi pemandu teksi, Jamil Yaakub, 50, dia masih terbayang seperti mahu membayar tol ketika melalui plaza tol berkenaan kerana sudah puluhan tahun berbuat demikian.

"Apabila melaluinya, saya terasa seperti mahu berhenti namun terus memandu selepas teringat pemansuhannya berkuat kuasa hari ini (semalam).

"Pelbagai kenangan dirasai selepas puluhan tahun menggunakan plaza tol itu. Namun, demi kesenangan rakyat, saya menyambut baik usaha kerajaan dan berterima kasih kepada Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak," katanya.

Sementara itu, kakitangan swasta, Mohd Hairuddin Ahmad, 41, pemansuhan kutipan tol itu diharap dapat mengurangkan masalah kesesakan lalu lintas di kedua-dua plaza tol berkenaan terutama ketika waktu puncak.

Menurutnya yang menetap di Pelabuhan Klang, dia antara pengguna setia Plaza Tol Sungai Rasau yang dijadikan sebagai laluan ke pejabatnya di Petaling Jaya.

"Hari minggu dan cuti umum tidak terasa kesesakan namun ia berlaku pada waktu pagi mulai 7 pagi dan 6 petang hari bekerja. Ia membuang masa hampir sejam hanya kerana membayar tol," katanya.

Semalam, Pengarah Urusan PLUS Datuk Azman Ismail menyerahkan dokumen rasmi iaitu surat serah kuasa kepada Ketua Pengarah Lembaga Lebuhraya Malaysia (LLM) Datuk Ismail Md Salleh.

Berikutan itu, operasi serta penyelenggaraan Lebuhraya Persekutuan menjadi tanggungjawab JKR dan diwartakan sebagai Jalan Persekutuan.

Sebelum ini, pengguna Kelas 1 yang melalui Sungai Rasau perlu membayar RM1 dan menerusi pemansuhan ini orang ramai boleh berjimat antara RM92.40 hingga RM126 sebulan.

Sementara itu di Batu Tiga, pengguna Kelas 1 perlu membayar RM1.10 dan orang ramai boleh berjimat RM48.40 hingga RM66 sebulan.

Selepas pemansuhan kutipan tol bermula hari ini, tinjauan Harian Metro mendapati keadaan trafik di kedua-dua plaza tol itu berjalan lancar bagi kedua-dua arah laluan berkenaan.

Disiarkan pada: January 1, 2018 @ 6:54pm
d