mutakhir

Industri pelancongan Langkawi boleh rosak

Oleh Hamzah Osman

CAJ tambahan RM3 dikenakan bagi pembelian tiket feri Langkawi di kaunter dianggap bukan langkah bijak dan boleh memudaratkan industri pelancongan yang bergerak perlahan ketika ini akibat kegawatan ekonomi global.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kuah Nor Saidi Nanyan berkata, beliau hanya mengetahui tindakan terbaru itu selepas membaca mesej dalam aplikasi WhatsApp yang dihantar orang ramai kepadanya.

"Orang ramai mengadu tak puas hati kerana caj RM3 itu dilaksanakan secara mengejut, tanpa notis, malah membebankan kepada pelancong yang mahu pulang selepas bercuti atau yang sedang bercita-cita untuk datang ke Langkawi.

"Malah, alasan yang diberi syarikat feri untuk menggalakkan orang ramai membeli tiket secara dalam talian tidak masuk akal," katanya ketika ditemui selepas mengadakan perjumpaan dengan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) bagi membincangkan isu itu di Langkawi, hari ini.

Nor Saidi berkata, beliau sudah mengatur untuk mengadakan perbincangan dengan syarikat pengendali perkhidmatan feri laluan Kuala Perlis-Langkawi dan Kuala Kedah-Langkawi pada Rabu ini bagi mendapatkan penjelasan lebih jelas berkaitan isu itu yang tular di media sosial sejak awal pagi ini.

"Isu ini serius kerana orang ramai melihat caj RM3 yang dikenakan syarikat feri sebagai kenaikan tambang feri, malah lebih parah apabila kerajaan dituduh bersubahat dan cuba menzalimi rakyat serta memeras rakyat bawahan.

"Sebenarnya isu ini berlaku hanya kerana tindakan tergesa-gesa oleh syarikat feri. Apabila saya merujuk perkara ini kepada pegawai Jabatan Laut di Jeti Kuah, mereka juga tidak tahu.... Jadi, saya anggap tindakan syarikat pengendali feri ini tidak mengikut saluran yang betul," katanya.

Sehubungan itu, Nor Saidi berkata, beliau menggesa syarikat pengendali feri menghentikan tindakan mengenakan cajRM3 yang dikenakan kepada penumpang sehingga keputusan yang lebih telus diambil oleh pihak berkuasa.

Timbalan Pengerusi Persatuan Hotel Malaysia Kedah/Perlis, Razmi Rahmat turut berpendapat tindakan tergesa-gesa syarikat feri itu boleh merosakan industri pelancongan Langkawi yang kini muram akibat kenaikan harga barang.

"Walaupun caj RM3 tidak dikenakan kepada penumpang beralamat Langkawi, namun ia tetap membebankan pengguna khususnya pelancong yang berhajat berkunjung ke Langkawi.

"Sepatutnya syarikat feri mencontohi pengurusan hotel yang masih mengekalkan harga lama walaupun dikenakan Bayaran Penggalakan Pelancongan Langkawi oleh Majlis Perbandaran Langkawi Bandaraya Pelancongan sejak pertengahan tahun lalu," katanya.

Portal Harian Metro hari ini melaporkan kerajaan negeri tidak dimaklumkan mengenai caj RM3 bagi pembelian tiket feri Langkawi di kaunter menyebabkan kenaikan tambang yang berkuat kuasa hari ini.

Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan, Pengangkutan dan Badan-Badan Bukan Kerajaan negeri, Datuk Tajul Urus Mat Zain berkata, berikutan itu, kerajaan negeri akan meneliti perkara berkenaan segera termasuk mengapa pihaknya tidak dimaklumkan mengenai perkara itu.

Berita berkaitan

Tak tau tambang feri naik

Disiarkan pada: January 1, 2018 @ 7:25pm
d