mutakhir

Dua keluarga dipindahkan ke PPS [METROTV]

Oleh Shahrinnahar Latib

TUJUH penduduk daripada dua keluarga di Kampung Sri Damai, Kuantan dipindahkan ke pusat pemindahan sementara (PPS) berikutan kawasan rumah mereka dilanda banjir kilat, hari ini.

Pengarah Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) negeri, Kolonel (PA) Zainal Yusof berkata, PPS Dewan Sri Damai itu diaktifkan kira-kira 5 petang.

"Proses pemindahan semua mangsa dilakukan pihak APM dengan kerjasama Polis Diraja Malaysia (PDRM), Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) negeri dan Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK).

"Bantuan awal seperti bekalan makanan dan barangan keperluan asas lain sudah diagihkan oleh wakil Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) yang berada di PPS berkenaan," katanya ketika dihubungi hari ini.

Zainal berkata, keadaan hujan tanpa henti sejak Jumaat lalu dijangka berterusan sehingga Rabu ini dan meminta penduduk yang berada di kawasan rendah untuk mendapatkan maklumat terkini daripada pihak berkuasa.

Katanya, pihaknya bersama PDRM akan terus memantau perkembangan cuaca dan berharap penduduk dapat memberikan kerjasama jika diarahkan berpindah.

Disiarkan pada: January 1, 2018 @ 9:10pm
d