mutakhir

Bahagia asal dapat bantu orang

Oleh Muhammad Saufi Hassan

Kuala Lumpur : Mengimpikan untuk menyertai misi kemanusiaan di luar negara seperti wilayah bergolak menjadi pembakar semangat buat gadis berusia 25 tahun ini terus aktif dalam aktiviti sukarelawan.

Bagi finalis rancangan realiti Clever Girl Malaysia, Shazana Kamaruzaman yang kini aktif dalam aktiviti sukarelawan beranggapan kegiatan itu sudah menjadi sebahagian minatnya.

“Saya bukan baru dalam aktiviti sukarelawan, malah sudah menyertainya sejak di universiti lagi apabila ada kelab di bawah seliaan tempat saya belajar menganjurkan program sukarelawan.

“Pernah juga beberapa kali saya terbabit mengajar kanak-kanak kurang upaya dan sindrom Down termasuk membantu mengadakan klinik kesihatan percuma di kampung,” katanya.

Shazana yang juga pelajar perubatan di universiti berkata, dia seronok membantu orang lain seperti menyumbangkan bantuan kepada komuniti dan golongan yang memerlukan.

“Jika tanya saya apa yang saya impikan dalam aktiviti sukarelawan ini adalah perasaan bahagia apabila dapat membantu orang lain.

“Itu antara faktor utama saya sanggup meluangkan masa menyertai Projek Kelas Kasih iaitu inisiatif untuk membantu anak Orang Asli memajukan pendidikan mereka,” katanya.

Menurutnya, anak Orang Asli kurang pendedahan berkenaan kepentingan pendidikan sedangkan mereka mempunyai kemampuan untuk berjaya.

Ditanya berhubung impiannya dalam aktiviti sukarelawan, Shazana berkata, dia berharap untuk menyertai misi kemanusiaan ke negara yang bergolak.

“Jika aktiviti sukarelawan dengan masyarakat di negara sendiri memberi kepuasannya yang tersendiri, misi kemanusiaan di negara luar pula lebih kepada pengalaman untuk saya rasai penderitaan mereka.

“Sudah pasti masalah di negara bergolak lebih rumit dengan krisis kemanusiaan, kekurangan bekalan makanan dan ubat-ubatan. Saya merancang untuk menamatkan pengajian terlebih dulu dan mungkin menjadi doktor sukarela untuk misi berkenaan pada masa depan,” katanya.

Disiarkan pada: January 2, 2018 @ 9:24am
d