mutakhir

Pindah 596 mangsa banjir

Oleh HM Digital

Kinabatangan: Seramai 596 mangsa banjir terpaksa ditempatkan di dua Pusat Pemindahan Sementara (PPS) selepas enam kampung di kawasan Penangah, Tongod, dekat sini, dilanda banjir kilat, kelmarin.

Dalam kejadian kira-kira jam 3 petang itu, mangsa terdiri daripada 128 keluarga.

Difahamkan, anggota keselamatan dan penyelamat turut berdepan masalah menyalurkan maklumat kepada media massa berikutan lokasi berkenaan tidak mempunyai rangkaian telekomunikasi yang baik.

Bagaimanapun, semua mangsa berjaya diselamatkan dan ditempatkan di PPS Dewan Kampung Penangah dan Sekolah Kebangsaan Saguon.

Ketua Pegawai Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) Zon Sandakan, Leftenan Ahmad Roslan Mohd Kamel berkata, mangsa terdiri daripada penduduk Kampung Seri Wati, Batong, Balid, Pamanawan, Saguon dan Kampung Penangah.

“Sebaik menerima makluman berhubung kejadian itu, seramai lebih 30 anggota APM, Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM), polis dan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) membantu dalam proses pemindahan mangsa banjir.

“Pada jam 3 petang, PPS dibuka secara rasmi di lokasi berkenaan. Keadaan juga didapati hujan pada masa pemindahan dijalankan,” katanya ketika dihubungi, semalam.

Ahmad Roslan berkata, pemantauan berkala turut dijalankan sehingga kini.

Disiarkan pada: January 2, 2018 @ 10:39am
d