mutakhir

Plaza Tol Bangunan Sultan Iskandar dimansuhkan [METROTV]

Oleh Izlaily Nurul Ain Hussein

Johor Bahru: Selepas lebih lima tahun Lebuhraya Penyuraian Trafik Timur Johor (EDL) beroperasi, pengguna kini tidak lagi perlu membayar tol di Plaza Tol Bangunan Sultan Iskandar (BSI) selepas ia dimansuhkan berkuatkuasa awal pagi semalam.

Tindakan pemansuhan berkuat kuasa semalam susulan pengumuman dibuat Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak dalam Bajet 2018 pada 27 Oktober lalu.

Lembaga Lebuhraya Malaysia (LLM) dalam kenyataannya memaklumkan bahawa kutipan tol EDL di plaza tol berkenaan dimansuhkan bermula, semalam.

Ini bermakna, pengguna EDL tidak lagi perlu membayar kadar tol berkenaan yang sebelum ini bernilai antara RM3.40 hingga RM13.60.

“Sebelum ini, kutipan tol di Plaza Tol BSI adalah merangkumi dua bahagian iaitu PLUS dan EDL.

“Bermula hari ini (semalam), kutipan tol bagi EDL adalah RM0 bagi semua lima kelas kenderaan,” katanya.

Bagaimanapun, LLM berkata, kutipan tol bagi PLUS masih diteruskan dengan kadar antara RM1.40 hingga RM6.10 mengikut lima kelas kenderaan yang ditetapkan.

Seorang rakyat Malaysia yang sering berulang alik ke Singapura, Razali Tompang, 38, berkata, pemansuhan kutipan tol EDL itu dilihat sebagai satu keputusan yang adil kerana majoriti yang masuk ke Singapura adalah pengguna rakyat tempatan.

“Saya rasa ini satu keputusan yang baik memandangkan mereka yang menggunakan lebuh raya EDL ini sering berulang alik bekerja di Singapura.

“Kini, ia adil kepada semua pengguna,” katanya yang bekerja di republik itu.

Bagaimanapun, katanya, adalah lebih baik jika kerajaan Singapura turut mengikut jejak langkah negara ini memansuhkan kutipan tol di Tambak Johor.

Disiarkan pada: January 2, 2018 @ 11:07am
d