mutakhir

Sesi baru Kumpulan A [METROTV]

Oleh BERNAMA

Kuala Lumpur: Seramai 135,761 murid tahun satu melangkah ke alam persekolahan bagi tahun 2018, semalam di Johor, Terengganu, Kedah dan Kelantan.

Menurut Takwim Penggal Persekolahan 2018, keempat-empat negeri berkenaan dikategorikan sebagai Kumpulan A yang memulakan sesi persekolahan semalam, manakala negeri lain di bawah Kumpulan B memulakan sesi persekolahan hari ini.

Di Johor, 56,576 murid memasuki tahun satu dan daripada jumlah itu, 38,069 murid Sekolah Kebangsaan, 16,222 murid Sekolah Jenis Kebangsaan (SJK) Cina dan 2,285 di SJK Tamil.

Pengarah Pendidikan negeri, Shaharudin Sharif berkata, semua murid berkenaan ditempatkan di 2,022 kelas.

“Seramai 47,579 pelajar pula memasuki tingkatan satu tahun ini membabitkan 232 sekolah menengah dan 1,525 kelas,” katanya.

Di Terengganu, 20,631 murid tahun satu memulakan hari pertama sesi persekolahan 2018 di 352 sekolah rendah seluruh negeri itu.

Pengarah Jabatan Pendidikan negeri, Shafruddin Ali Hussin berkata, daripada jumlah itu, 10,370 ialah murid perempuan dan 10,261 murid lelaki.

“Bagi tingkatan satu pula, ia membabitkan 19,759 pelajar di 150 sekolah menengah seluruh Terengganu.

“Alhamdulillah hari pertama persekolahan berjalan lancar meskipun terdapat beberapa kawasan dilanda hujan sejak malam tadi (kelmarin),” katanya.

Di Kedah, 30,409 murid tahun satu mula bersekolah, semalam.

“Semuanya berjalan lancar dan pegawai jabatan sentiasa memantau agar tiada masalah berlaku,” katanya.

Di Kelantan, 28,145 murid tahun satu memulakan sesi persekolahan di 418 sekolah rendah, kata Pengarah Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) Kelantan, Muhammad Zahari Othman.

Beliau berkata, selain itu, 13,376 murid prasekolah dan 28,961 pelajar tingkatan satu turut memulakan persekolahan.

Disiarkan pada: January 2, 2018 @ 11:12am
d