mutakhir

Terkilan tak sekolah [METROTV]

Oleh Mohamad Azim Fitri Abd Aziz

KEGEMBIRAAN kanak-kanak perempuan berusia enam tahun untuk menghadiri hari pertama persekolahan pra sekolah di Sekolah Kebangsaan (SK) Panching, Kuantan, hari ini, terpaksa dilupakan seketika selepas sekolah itu ditutup akibat banjir.

Kanak-kanak berkenaan Azra Damia Nor Azwan dihantar neneknya, Mariah Che Sin, 52, pada 7.30 pagi tadi namun dimaklumkan guru di sekolah itu yang sesi persekolahan terpaksa ditunda akibat beberapa kawasan sekolah dinaiki air.

Mariah berkata, dia menyiapkan cucu kelimanya itu seawal 6 pagi kerana tidak mahu terlewat menghadiri hari pertama pra sekolah.

“Sebaik sampai ke sekolah, saya tengok beberapa kawasan tenggelam. Saya tanya cikgu, mereka kata sekolah tutup hari ini dan tidak pasti bila buka.

“Kata mereka, segala perkembangan akan dimaklumkan kepada ibu bapa dan penjaga. Saya harap banjir kali ini tidak teruk kerana cucu saya terlalu teruja nak mendaftar hari pertama persekolahannya,” katanya.

Difahamkan kira-kira 500 murid SK Panching terpaksa menangguhkan hasrat ke sekolah selepas dimaklumkan sekolah itu ditutup buat sementara waktu.

Kawasan sekolah itu ditenggelami air sedalam 0.5 meter menyebabkan sesi pembelajaran ditangguhkan.

Disiarkan pada: January 2, 2018 @ 11:35am
d