mutakhir

'Ibu... nak balik, tengok TV'

Oleh Garret Dawum

“IBU tolong saya, nak balik, tengok TV,” pinta murid Program Pendidikan Khas Integrasi (PPKI) Sekolah Kebangsaan (SK) Ampang Campuran, Muhamad Faiz Muhamad Fadli, 7.

Gelagat lucu Muhamad Faiz yang juga antara enam murid PPKI tahun satu yang memulakan sesi persekolahan di sekolah itu, hari ini menarik perhatian guru, ibu bapa dan murid lain.

Menurut ibunya, Salmi Sahari, 36, Muhamad Faiz begitu semangat untuk memulakan persekolahan dan sudah bangun seawal 6.30 pagi.

"Pada 7.15 pagi, saya dan suami sudah berada di sekolah. Mungkin Faiz belum bersedia sebab itu dia membuat permintaan macam-macam.

"Lagipun, dia mengambil masa sebulan untuk mengenali atau menyukai orang sekeliling memandangkan dia ada autisme.

"Saya juga risau dengan penyesuaian diri Faiz kerana komunikasi dua halanya agak lambat. Sebab itu, saya sendiri ajar dia menggunakan isyarat jika mahu sesuatu," katanya ketika ditemui selepas lawatan Pengarah Pendidikan Selangor, Mohd Salleh Mohd Kassim sempena sesi baru persekolahan 2018 di SK Ampang Campuran Ampang, hari ini.

Mohd Salleh berkata, 91,656 murid tahun satu sudah mendaftar di 659 sekolah rendah di Selangor bagi sesi persekolahan 2018.

"Bilangan ini meningkat 6,020 murid (7 peratus) berbanding 85,636 yang mendaftar tahun lalu.

"Untuk tingkatan satu pula, pelajar berdaftar adalah 82,411 orang berbanding 72,153 orang tahun lalu," katanya.

Beliau berkata, persediaan pembukaan sekolah di Selangor berjalan dengan lancar dan pada Mac atau April ini, tiga sekolah baru akan dibuka.

"Masing-masing ialah Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC) Union Cyberjaya, Sekolah Jenis Kebangsaan Tamil (SJKT) Taman Sentosa Klang dan Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Bukit Kapar.

"Diharap pembukaan sekolah ini dapat menampung bilangan pelajar sekaligus mengatasi kepadatan sekolah di kawasan sekitar," katanya.

Disiarkan pada: January 2, 2018 @ 12:41pm
d