mutakhir

Bersemangat kembali

Oleh Syaherah Mustafa

SEPTEMBER lalu, dia hilang kaki kiri akibat kompilikasi barah tulang yang dideritai sejak awal 2017.

Namun kekurangan itu tidak melunturkan semangat Abdul Afza Aziz Abdul Wahab, 17, untuk kembali bersekolah seperti insan normal lain meskipun terpaksa bertongkat.

Pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Rantau Panjang itu juga lebih bersemangat dan penuh keazaman selepas setahun menangguhkan persekolahan demi melawan penyakit dihidapi.

Ibunya, Siti Halimah Mohammad, 37, gembira dengan kecekalan anak sulung itu dan ketabahan dia melawan penyakit hingga kembali cergas walaupun kini orang kurang upaya (OKU).

“Semalam, hari pertama dia ke sekolah, saya temani hingga ke kelas. Afza sangat gembira apabila dapat kembali ke sekolah dan belajar dengan rakan-rakannya.

“Pada awalnya dia ada meluahkan rasa malu untuk berdepan rakannya kerana kekurangan diri. Namun, saya beri sokongan dan kata semangat supaya dia tidak rendah diri.

“Alhamdulillah dia ok dan saya harap dia dapat sesuaikan diri kerana tahun ini bakal duduki Sijil Pelajaran Malaysia (SPM). Dia harapan keluarga untuk ubah nasib kami,” katanya, hari ini.

Kisah Abdul Afza Aziz Abdul Wahab, 17, pernah dilaporkan Harian Metro pada April lalu dan mendapat perhatian pelbagai pihak termasuk pertubuhan The Thirdforce Rantau Panjang.

Siti Halimah bersyukur kerana ramai pihak yang membantu anaknya terutama selepas kisahnya dilaporkan media.

“Sokongan tidak putus-putus diberikan kepada kami sekeluarga, lebih-lebih lagi Thirdforce Rantau Panjang yang memberi sokongan moral dan kewangan.

“Terima kasih kepada semua yang membantu kami. Harapan saya supaya Afza terus sihat, dapat belajar dengan baik dan berjaya,” katanya.

Disiarkan pada: January 2, 2018 @ 1:40pm
d