mutakhir

Kasihannya adik...

Oleh Razik Zayad

KANAK-kanak lelaki terpaksa menahan sakit hampir setengah jam selepas kaki kirinya tersangkut dalam lubang tandas di Sekolah Kebangsaan (SK) Paganatan, Keningau, hari ini.

Dalam kejadian 9.10 pagi itu, kanak-kanak berusia lima tahun itu dikatakan tergelincir ketika membuang air kecil sebelum kaki kirinya termasuk dalam lubang tandas itu.

Kejadian itu disedari oleh guru tadika yang terdengar mangsa menangis sebelum menghubungi bomba untuk mendapatkan bantuan.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Keningau Mudi Pangiran berkata, sebuah jentera dengan lapan anggota dan dibantu kenderaan Perkhidmatan Bantuan Kecemasan Perubatan (EMRS) dikejarkan ke SK Paganatan sebaik menerima panggilan kecemasan.

"Anggota BBP Keningau mengambil masa kira-kira 15 minit untuk mengeluarkan kaki mangsa yang tersangkut dengan menggunakan sabun sebagai pelincir.

"Mangsa dirawat oleh pasukan EMRS," katanya ketika dihubungi.

Menurutnya, operasi ditamatkan 9.58 pagi.

Disiarkan pada: January 2, 2018 @ 6:37pm
d