mutakhir

Guna pakar bedah potong tangan pencuri

Oleh Muhamaad Razis Ismail

KERAJAAN Kelantan tidak menolak kemungkinan menggunakan khidmat pakar bedah untuk menjalankan hukuman potong tangan terhadap penjenayah yang disabitkan kesalahan mencuri sebaik hukum hudud dilaksanakan.

Timbalan Menteri Besar, Datuk Mohd Amar Nik Abdullah berkata, khidmat mereka diperlukan bagi mengelakkan kerosakan kepada anggota badan lain.

Katanya, pada zaman dulu, hukuman potong tangan terus dilakukan begitu saja yang kemungkinan boleh menyebabkan kecederaan pada lengan.

"Ulama berpandangan dalam zaman moden ini perlu menggunakan khidmat pakar bedah supaya ia dipotong mengikut pergelangan tangan yang tidak akan mencederakan lengan.

"Kita mengenal pasti kaedah yang bersesuaian dan lebih praktikal. Mereka (pakar bedah) memerlukan panduan dan penjelasan daripada segi agama terutama mengenai paras tangan yang perlu dipotong," katanya kepada media selepas Majlis Amanat Khas Tahun Baharu 2018 dan Perhimpunan Penjawat Awam Negeri Kelantan di Kota Bharu, hari ini.

Mengulas lanjut, Mohd Amar berkata, kerajaan negeri juga akan menjadikan pelaksanaan hudud di Qatar, Arab Saudi dan Acheh, Indonesia sebagai contoh dalam melaksanakan hukum hudud di negeri ini.

"Ada cadangan, diadakan lawatan ke Qatar untuk mendapat gambaran lebih jelas kerana saya difahamkan pelaksanaan hukum hudud di sana lebih sistematik," katanya.

Sementara itu, Ketua Hakim Syarie Kelantan,Datuk Daud Mohamad berkata, sebelum hukum itu (potong tangan) dijalankan pelbagai perkara perlu diambil kira.

"Sebagai contoh, nak sampai peringkat potong tangan ini bukan senang kerana satu kesalahan itu ada banyak pengecualian.

"Pesalah pula dalam satu-satu kes tidak semestinya dipotong tangan kerana mungkin dia dalam keadaan terdesak, kelaparan atau apa-apa masalah yang menyebabkan terpaksa mencuri," katanya.

Disiarkan pada: January 2, 2018 @ 6:37pm
d